Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Kepercayaan Matahari, Angin, Air, Khurafat Alam Melayu Ketika Bina Rumah?

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Pernah tidak kita dengar orang dulu-dulu cakap “Kau nak buat rumah tu ikut matahari, tengok angin. Tingkap buat dikawasan sekian-sekian.” dan sebagainya, ketika kita nak buat rumah. Kadang kita dengar seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan benda ini, macam ada kepercayaan tertentu, “Feng Shui“, khurafat dan sebagainya. Jom kita borak-borak apa sebab mereka ini terlalu sibuk mengenai perkara ini ketika pembinaan rumah.

Bila sekali dengar memang bunyi seperti ada kepercayaan tertentu, khurafat, “Feng Shui“, membawa rezeki dan sebagainya. Kerana kita sering digembar gemburkan alam Melayu penuh dengan mistik dan kepercayaan ghaib.

Bagi mereka yang tidak mengkaji atau terlalu skeptikal atau selalu ada prasangka buruk terhadap apa sahaja yang datang dari nenek moyang kita, kita akan tuduh pelbagai tafsiran. “Orang Melayu ini percaya bukan-bukan saja.” “Tak habis-habis percaya benda khurafat”. Tidak dinafikan bahawa Alam Melayu banyak dengan kemistikan, cuma disini kita tidak boleh terlalu terus menghukum apa sahaja yang datang dari nenek moyang kita kemudian membuat tuduhan melulu.
Jom kita kupas satu per satu kononnya dikatakan

“Kepercayaan atau Khurafat Matahari, Angin dan Air dalam masyarakat orang Melayu ketika membina rumah”

  • MATAHARI
    • Kebiasaannya orang dahulu sebelum membuat rumah akan melihat dimana naik dan turunnya matahari kemudian mereka akan meletakan tingkap didua bahagian, iaitu ketika matahari naik dan matahari turun. Supaya cahaya akan masuk ketika pagi dan petang sehingga ke maghrib. Ini bukan kerana mereka mempercayai matahari atau memuja matahari atau ingin melakukan yoga atau dewa matahari.
    • Zaman dahulu masyarakat Melayu kebanyakannya menggunakan pelita dan ketiadaan tenaga elektrik. Jadi, matahari atau cahaya matahari sangat penting dan memainkan peranan bagi orang zaman dahulu dalam menerangi rumah mereka. Kerana itu setiap kali mereka ingin membina rumah, unsur-unsur seperti matahari ini sangat mereka titik beratkan.
    • Mereka akan melihat disebelah mana matahari naik dan disebelah mana matahari turun. Kemudian mereka akan membuat tingkap dibahagian tersebut supaya rumah mereka sentiasa terang. Diwaktu pagi, cahaya matahari akan masuk, diwaktu disebelah petang sehingga maghrib pula cahaya matahari bersambung masuk ditingkap sebelah matahari turun. Dan kebiasaannya diwaktu tengahari, sinaran matahari terik. Mana kala waktu malam pula mereka akan memasang pelita untuk sementera waktu, sebelum tidur. Bukankah rumah kita akan sentiasa terang dan menjimatkan? Ini konsep dan teknologi orang dahulu.
    • Pada zaman serba moden ini, konsep seperti ini diguna pakai semula dengan istilah “rumah terbuka”. Zaman ini akan menggunakan cermin atau kaca sebagai dinding yang boleh ditembusi cahaya matahari masuk. Supaya diwaktu siang rumah akan sentiasa terang dan kita dapat menjimatkan tenaga elektrik dan tidak memasang lampu 24 jam.
    • Kalau kita mengkaji atau lihat, pada tahun kebelakang sedikit, kebanyakan rumah berkonsepkan tertutup dan semuanya batu-bata(jika anda perasan), tetapi baru-baru ini, konsep rumah terbuka ini semakin diguna pakai, ramai yang suka. Kalau dahulu semua rumah dikelilingi dengan batu-bata, rumah akan menjadi lebih gelap, tiada pencahayaan masuk, dan lampu akan dipasang walaupun jam 12 tengahari. Ini akan menjadikan tenaga elektrik meningkat. Jadi, konsep orang dahulu membuat tingkap supaya cahaya matahari dapat memasuki rumah telah diambil semula dan dijenamakan sebagai konsep rumah terbuka yang mana cahaya alami atau cahaya semula jadi yang lebih segar akan masuk diruangkan yang kita inginkan.
    • Sebenarnya sangat penting matahari luar memasuki rumah, supaya rumah kita tidak terperap dan berkepam. Kalau kita perasan, kebiasaannya didalam bilik. Jika tiada cahaya masuk, kebiasaannya bilik kita akan menjadi sedikit berbau. Kerana itulah kita melihat orang dahulu akan meletakan tingkap di ruangan bilik supaya cahaya matahari masuk dan mengurangkan bau dalam bilik.
    • Mungkin kita tidak perasan hal sedemikian dan tiada tuduhan khurafat atau kepercayaan tertentu yang dilemparkan di zaman ini, kerana apa? Kerana kemodenan. Sedangkan dahulu teknologi ini telah diguna pakai, cuma hari ini di inovasikan semula. Bezanya, zaman ini kebanyakannya menggunakan cermin atau kaca sebagai dinding. Dahulu pula hanya tingkap yang kecil. Tetapi konsepnya tetap sama. Pemikiran orang dahulu telah mendahului kita dan hari ini kita “mencuri” dari mereka dan inovasikan semula, kemudian menjenamakan dengan nama kemodenan.
    • Cumanya disini perlu berhati-hati dengan konsep terbuka. Sebab, setiap ruangan ada auratnya yang tersendiri yang perlu kita jaga. Tidak kira apa bangsa atau agama pun. Pasti akan sisi-sisi malu yang kita tidak akan tunjuk pada orang lain. Tetapi bagi orang Islam, aurat sangat penting dan wajib untuk kita jaga. Jika terlalu terbuka, sebab sukar untuk kita jaga. Khuatir ketika isteri sedang menonton televisyen atau berada diruang tamu, orang luar dapat melihat isteri dan anak perempuan kita. Ini sangat bahaya. Orang Melayu dahulu sangat menjaga ruangan didalam rumah, walaupun ada tingkap, pasti akan ada langsir yang tebal dan tidak menembusi sehingga nampak dalam rumah. Sebab itu kita lihat langsir zaman dulu warnanya sangat menyerlah dan sangat tebal bagi mengelakan orang luar dapat melihat. Dan bukan sesetangah langsir yang jarang, jika malam, pasang lampu, orang luar akan nampak bayang-bayang kita dari luar. Jagalah privasi anda.
  • ANGIN
    • Orang dahulu sangat peka dengan pengudaraan supaya angin boleh masuk dan keluar, ini akan membuatkan rumah orang dahulu lebih sejuk dan nyaman. Di waktu siang, mereka akan mencari laluan mana angin masuk, dan mereka akan membuat tingkap dan sebagainya. Bilamana waktu malam, tidak perlu lagi, kerana cuaca sudah berubah dan sejuk.
    • Jadi, disini sahaja mereka dapat menjimatkan penggunaan kipas atau bahasa lainnya waktu dahulu tiada kipas dan elektrik. Zaman dahulu bukanlah seperti hari ini yang ada kipas siling dan kipas meja dijalan serentak, ada pula penghawa dingin yang sentiasa menyejukan ruangan bilik. Kerana itulah pengudaraan atau angin sangat penting dizaman dahulu kala.
    • Beberapa waktu dahulu, konsep angin ini hampir sudah dilupakan. Tetapi, kebelakangan ini, ramai orang yang memikirkan semula mengenai konsep angin. Kita akan lihat rumah moden akan melakukan konsep Open Air.
    • Hari ini, sudah ramai memikirkan konsep terbuka seperti ini, kerana cuaca di Malaysia yang agak panas dan saban tahun menjadi semakin panas, terlebih lagi orang yang berada dibandar. Dan selain itu, dapat mengurangkan kos tenaga eletrik. Bayangkanlah jika rumah atau bilik kita tertutup, sudah pasti suhu dalam bilik akan meningkat dan mahu atau tidak, kita pasti akan membuka kipas siling, kemudian kipas meja, dan akhirnya penghawa dingin.
    • Selain itu juga, angin memainkan peranan bagi untuk melancarkan pengudaraan di ruangan masak atau dapur. Sebab apa penting? Orang Melayu memang gemar untuk memasak masakan yang bertumis. Kita sedia maklum, menumis ini akan mengeluarkan aroma yang sangat kuat. Jika yang ditumisnya cili, sudah pasti orang dalam rumah akan terbersin-bersin. Jadi, pengudaraan masuk dan keluar diruangan dapur juga amat penting bagi orang Melayu. Sebab itu kita akan lihat orang dahulu dapurnya betul-betul dibelakang dan kawasannya lebih terbuka. Jika tidak pun, kita akan lihat ada lubang-lubang dibelah atas dan sisi dinding.
    • Itulah cara orang dahulu atau teknologi orang dahulu yang akhirnya hari ini konsep ini diguna pakai semula seperti ekzos fan, yang menarik aroma tumis keluar. Bukan sebab orang Melayu mencari angin untuk dijadikan dewa angin atau untuk disembah, atau kepercayaan khurafat atau Feng Shui. Jangan kita terlalu prasangka buruk terhadap nenek moyang kita dahulu.
  • AIR
    • Bagaimana dengan air? Seperti yang sedia maklum, air adalah elemen yang terpenting dalam dunia apatahlagi manusia. Air tersangat penting bagi semua kehidupan didunia ini. Orang zaman dahulu, apabila mereka berhijrah, mereka akan mencari dimana ada air, disitu mereka menetap. Mereka akan mencari tepi-tepi sungai atau dikawasan yang mempunyai perigi bagi memudahkan penggunaan air. Kerana ini salah satu peradaban ketamadunan manusia, mesti ada air. Kita tahu, orang dahulu kebanyakan sumber makanan mereka daripada tanaman, jika ketiadaan air, pasti akan menyukarkan kehidupan mereka.
    • Masa berganti masa, dizaman kemodenan ini, manusia tidak perlu membina rumah ditepi sungai atau dikawasan mempunyai perigi untuk mendapatkan air. Cukup sekadar buka kepala paip, air akan keluar dengan banyaknya. Kerana itu kita hari ini sangat kurang menghargai air sepertimana orang dahulu menghargai air. Bukan kerana sungai itu dewa air, tetapi air pada zaman itu sukar untuk didapati.
    • Jika zaman dahulu pentingnya sungai supaya sistem pengaliran pemparitan mudah untuk disalurkan terus ke sungai, hari ini kita sudah ada longkang yang akan terus membawa kepada sistem saluran kumbahan.
    • Konsep perigi pula pada hari ini diguna pakai kembali dengan menggantikan dengan tong simpanan air yang kebiasaannya berada diatas bumbung rumah kita. Supaya bekalan air tidak terputus jika kerja-kerja pempaipan sedang dijalankan.
    • Kita boleh lihat, konsep-konsep ini diguna pakai semula hari ini. Bezanya ialah konsep ini dijenamakan semula dan nampak lebih gah dan moden, sedangkan teknologi ini sudah lama diguna pakai berabad-abad lamanya.

KESIMPULAN

Inilah konsep orang dahulu kala. Jika tidak diterangkan ianya nampak seperti tahyul, ada kepercayaan tertentu, khurafat, Feng Shui dan sebagainya. Bilamana kita mendengar, “Buat rumah kena ikut matahari, angin, dan sebagainya. Tingkap mesti diletakan disekian-sekian tempat atau kawasan, mesti ikut naik turun matahari”. Jika kita tidak kaji, sekali dengar, memang kelihatan pelik dan ada sedikit unsur-unsur kepercayaan.

Tetapi begitulah orang zaman hari ini yang ada sifat bersangka buruk terhadap amalan orang dulu-dulu. Bila orang dulu-dulu cakap sikit “Khurafat, tahyul, mahyul”. Tetapi sedikit pun mereka ini tidak mengambil dan berfikir sejenak. Tidak dinafikan ada yang mempercayai perkara mistik, kerana alam Melayu ini penuh dengan alam mistik, itu tidak dinafikan, tetapi, melihatlah pada konten yang hendak disampaikan dahulu. Saya juga sangat keras berpegang, apa sahaja yang membawa kepada khurafat dan syirik, saya akan tolaknya. Tetapi lihatlah perbincangan dahulu, jangan terlalu bersifat defensif. Ini berlaku kepada asatizah atau pembelajar agama yang terlalu skeptikal kepada bangsa nenek moyang mereka sendiri.

Saya tahu, kita hendak melahirkan masyarakat yang akan datang bebas daripada kekhurafatan dan kesyirikan, tetapi lihat dahulu apa yang mereka hendak sampaikan. Betul, kadang kala istilah yang mereka guna itu ada sedikit bermasalah, itu tidak dinafikan.

“Bangun pagi, nanti rezeki masuk” – Maksudnya bangun pagi-pagi, kerja dan buka kedai awal. Memang kita pergi ke pasar awal pagi, kalau kita tidak buka kedai awal, nanti pelanggan tengok kedai tutup, lepas itu balik. Bukankah merugikan?

“Jangan sebut aku, nanti jumpa hantu paku” – Maksudnya, jangan cakap aku kau dengan abang atau adik beradik. Memang ini pun yang pernah saya dengar ketika kecil dulu.

“Jangan menyiarap sambil angkat kaki belakang, nanti mak ayah cepat mati” – Mungkin ini agak keras, tetapi kebanyakan orang suka lakukan perkara ini di ruang tamu sambil tengok televisyen, dan lebih parahnya ketika ada tetamu, mereka menyiarap, angkat kaki belakang sambil goyang-goyang. Budaya ini sudah sebati dalam perangai kanak-kanak. Mungkin juga kerana sukar untuk dilupuskan, mereka mencipta istilah sebegini. Siapa hendak mak ayahnya mati cepat bukan? Ya, istilahnya tetap salah.

Dan sebagainya. Memang ini berlaku dalam masyarkat kita, kerana bermasalah dengan istilah. Pernah dengar “Lepas ambil beras, penuhkan semula cupak tu, nanti murah rezeki”? Saya ada penjelasannya disini, tetapi agak sukar untuk diterangkan. Ianya lebih kepada Food Bank.

Katalah dalam bekas ada 300g, kemudian selepas digunakan, ada 200g. “Lepas ambil beras, penuhkan semula cupak tu”. Selepas penuhkan cupak tinggal 100g. Dapat tidak disini? 100g dalam bekas, 100g dalam cupak. Sebagai seorang manusia, kita tidak melihat beras ada 200g, tetapi mata kita hanya ditumpukan didalam bekas, ada 100g. Kemudian bila kita hendak menggunakan beras, kita akan lihat didalam bekas “Alamak, tinggal 100g je..”, tetapi kita lupa sebenarnya ada lagi 100g dalam cupak. “Fuhh.. Nasib baik aku ada tinggalkan beras dalam cupak, selamat untuk sehari dua, murah rezeki”. Faham tidak disini? Bukanlah cupak itu membawa rezeki, tetapi lebih kepada ada simpanan. Lebih kurang begini, kita ada RM200, kita simpan RM50 dalam bank, tinggal RM150. Bila kita lihat dompet, “ini je tinggal duit aku, macam mana ni… Eh, baru aku teringat ada duit dalam bank aku simpan dulu. Sebab mak aku selalu cakap, macam mana pun dalam bank mesti ada simpan duit sikit supaya boleh guna waktu kecemasan macam ni, Alhamdulillah, murah rezeki aku”. Nampak tidak? Bukan bank itu membawa rezeki, tetapi inisiatif kita asingkan dan simpan. Begitulah konsepnya.

Sekali dengar istilah orang kita, memang kelihatan pelik dan ada kepercayaan tertentu. Tapi begitulah istilahnya orang dahulu. Mereka tiada istilah moden seperti FOOD BANK, BANK SIMPANAN dan sebagainya. Waktu dan ketika itu, apa sahaja terlintas dalam pemikiran mereka, mereka akan sebut. Dan tugas kita untuk memahami dan menapis istilah-istilah tersebut, tanpa menafikan, memang ya, ada perkara khurafat yang sekali kita dengan pun, ini merapu merepek ini. Tapi jika istilah yang kita bincangkan diatas, saya rasa, biasa-biasa sahaja.

Saya ingat lagi dahulu orang tua-tua cakap jangan potong kuku tengah malam, nanti hantu sekian-sekian datang makan kuku kita. Memang istilah ini menakutkan ramai orang untuk memotong kuku malam-malam. Tetapi, zaman dahulu memang tiada lampu, jadi, bagi mengelakan kecederaan, istilah seperti ini diambil. Jika tidak salah, ada juga hadis berkaitan dengan memotong kuku ketika malam

Orang dulu-dulu melarang anak kita berada diluar ketika maghrib dan menutup semua pintu dan tingkap. Dan bermacam-macam istilah mereka gunakan bagi melarang anak-anak mereka main diluar, hantu itulah, hantu inilah, hantu gelanglah. Kerana itu sahaja istilah yang mereka ada. Bila kita sebut syaitan, budak akan cakap “Ha? Syaitan? Apa tu?” Nak terangkan pun agak sukar. Cuba cakap pada mereka hantu pocong, hantu kopek/hantu tetek(maaf), hantu air, kalau main waktu maghrib bola jatuh, raba-raba terpegang mata hantu. Ini semua istilah yang akan menakutkan kanak-kanak ketika itu. Walaupun dizaman ini, menakutkan budak menjadi suatu kesalahan, tetapi pada zaman itu, itulah budaya dan istilahnya. Jangan dibandingkan zaman ini dan zaman pada waktu itu.

Dalam hadis juga Nabi melarang kita berada diluar sebelum masuknya waktu maghrib.

“Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”

HR Bukhari, Muslim

Jadi, saya harap anda pembaca memahami istilah orang dulu-dulu gunakan. Mendengar cerita mereka, melihat istilah yang mereka gunakan dan kaji apa sebenarnya mereka sampaikan dan katakan. Jika berlaku kekhurafatan atau kesyirikan, tolaklah amalan mereka. Jika berlaku hanya pada masalah isitilah, dan kontennya betul, ambillah dan tapis. Begitulah cara kita dizaman moden ini untuk berinteraksi dengan pandangan orang dulu-dulu, bukannya defensif atau skeptikal “Ah, orang dulu kalau cakap, merapu merepek. Percaya benda yang bukan-bukan, khurafat,” dan sebagainya. Bukan begitu otak dan pemikiran kita berjalan. Banyak juga perkara-perkara yang kita belajar dari orang terdahulu yang kita sendiri pun tidak perasan, dan akhirnya pandangan mereka diambil dan diubah suai mengikut zaman dan menjadi lebih baik. Itulah yang sebetul dan sebaiknya. Wallahuaklam

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts