Assalammualaikum, Salam sejahtera..
AMARAN: PENULISAN INI MUNGKIN SEDIKIT SENSITIF, JIKA SESIAPA YANG TIADA PEMIKIRAN TERBUKA DAN HANYA BERADA KATAK DIBAWAH TEMPURUNG, TIDAK DIGALAKAN MEMBACA. INI HANYALAH PENDAPAT DAN PANDANGAN DARI SAYA SAHAJA. BOLEH TERIMA DAN BOLEH TIDAK. TETAPI MESTI DENGAN ADAB DAN AKHLAK YANG BAIK. TERIMA KASIH
Dizaman mutakhir ini, terlalu banyak isu klaim mengklaim ini, sudah pasti banyaknya dari Indonesia dan tidak kurang juga dari Malaysia. Mungkin kebanyakan yang klaim-klaim di media sosial ini, sebahagiannya tidak tahu sejarah, dan sebahagiannya pula tidak tahu kedudukan geografi.
Sudah lama saya hendak menulis perihal ini, cuma pada asalnya saya tidak berminat untuk menyentuhnya. Tetapi saban hari, waktu berganti waktu, saya fikir ramai akan memahami isu klaim ini, tetapi malangnya masih tidak. Sebahagian besar dari mereka berkata apa yang mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka kata, dan tidak memahami apa itu sejarah dan geografi dan etnik itu sendiri.
Tidak dinafikan, semua orang akan cakap “Ala.. Biasalah, netizen. Keyboard Warrior. Cakap ikut suka” dan sebagainya. Tetapi, semakin hari, netizen atau warga net atau warga maya ini semakin ramai, dan semakin ramai yang bercakap luar dari apa yang sepatutnya. Dan kita boleh lihat, ketidaktahuan mereka dalam apa yang mereka katakan itu semakin lama semakin parah. Salah satunya adalah hal KLAIM, yang saya hendak menulis ini.
Sebenarnya penting untuk kita membincangkan hal ini supaya manusia lebih faham kenapa tidak perlunya kita KLAIM sesuatu perkara. Mungkin ada beberapa perkara yang perlu kita KLAIM, itu tidak dinafikan seperti pulau sekian-sekian berada dikawasan mana, sejarah bermulanya sesuatu dimana. Tetapi ada perkara yang tidak patut kita klaim, sebab apa? Mari kita bincangkan. Saya ingatkan sekali lagi, sesiapa yang tidak mempunyai pemikiran terbuka, seeloknya tidak perlu baca, sebab hal ini masih dalam ruang perbincangan. Sesiapa yang ada pendapat dan pandangan boleh komen diruangnya komen.
Saya terfikir sesuatu mengenai beberapa hal, dan saya akan sentuh sambil lalu. Diantaranya hal BATIK. Saya suka mendengar golongan prefessional bercakap, tiada rasis dan menerimanya, dan menghujahnya dengan aman. ADAKAH BATIK KEPUNYAAN MALAYSIA atau BATIK KEPUNYAAN INDONESIA. Yang pertama, saya menerimanya, BATIK adalah milik orang JAWA, ini tiada sesiapa yang boleh menafikan. Perkataan BATIK itu sendiri berasal dari JAWA iaitu AMBATIK yang bererti MEMBUAT TITIK. Saya rasa dibahagian professional di Malaysia tidak menafikan hal tersebut kerana ini sejarahnya. BATIK kepunyaan JAWA. Tetapi… Disini menjadi persoalannya. ADAKAH BATIK KEPUNYAAN MUTLAK MILIK INDONESIA? Ini kerana kepulauan JAWA berada di dalam Indonesia. Disini menjadi persoalannya.
Kita perlu mamahami sejarah dan geografi ini dahulu. Sebelum adanya MALAYSIA dan INDONESIA, etnik JAWA itu sudah wujud lebih lama lagi, bahkan jauh kebelakang. Kepulauan Jawa juga telah wujud sekian lama. Kerajaan Majapahit pun pada 1293 sedangkan Indonesia merdeka pada 1945, 652 tahun kebelakang. Sejarah Jawa tidak terhenti disitu, bahkan etnik Jawa lebih lama dari itu. Jadi, kita sudah sampai kepada persoalan pokok.
ADAKAH BATIK ITU KEPUNYAAN NEGARA ATAU ETNIK?
Sebelum kemerdekaan Indonesia dan Malaysia, etnik Jawa telah berada di Tanah Melayu(Malaysia) dahulu, dan sudah lama disini. Adakah pelik jika Malaysia pada hari ini juga mempunyai BATIK? (Kita ketepikan dahulu soal Batik Kelantan dan Terengganu). Jawapannya, sudah tentu TIDAK! Kerana Batik ini berasal dari Jawa dan lebih tepatnya ialah kepunyaan orang-orang Jawa. Jadi, adakah Malaysia ini mencuri? Jawapannya sekali lagi TIDAK! Kerana Malaysia juga ada etnik dari orang-orang Jawa yang telah masuk dan berada di Tanah Melayu atau Malaysia pada hari ini. Ini point yang sangat penting bagi mereka yang tidak memahami kenapa Malaysia dan Indonesia berkongsi budaya yang sama.
Kita berbalik kepada persoalan pokok. ADAKAH BATIK KEPUNYAAN NEGARA(MALAYSIA ATAU INDONESI) ATAU ETNIK? Jika dari mata kasarnya, ya. BATIK KEPUNYAAN INDONESIA. Ini kerana kepulauan Jawa itu terletak di dalam Indonesia. Baiklah, mari kita pergi jauh sedikit perbincangan ini.
Jika kepulauan Jawa berada dibawah Malaysia, adakah ianya akan menjadi milik Malaysia? Jika suatu hari nanti Timor-Leste klaim kepulauan Jawa milik mereka, adakah Batik akan menjadi kepunyaan Timor-Leste? Adakah suatu hari nanti jika kepulauan Jawa meminta kemerdekaan, dan akhirnya Batik menjadi kepunyaan negara kepulauan Jawa dan bukan lagi milik kepunyaan Indonesia?
Nampak tidak, disini permasalahannya berlaku. Permasalahannya adalah kita KLAIM sesuatu budaya dengan pemikiran yang sangat sempit dan agak terkongkong. Kita Klaim budaya etnik sebagai budaya negara, yang mana pada asalnya budaya etnik itu telah wujud ratusan bahkan ribuan tahun lamanya sebelum wujudnya negara tersebut. Jadi, bilamana mereka membawa budaya mereka keluar dari kawasan mereka, dan membuat penempatan baharu di kawasan atau negara lain, kita akan klaim dan mengatakan negara tersebut mencuri budaya negara kita. Sedangkan empunya budaya, etnik tersebut yang membawanya kesana. Nampak tidak permasalahannya disini?
Ingat tidak saya ada beritahu orang-orang Jawa telah berhijrah ke semenanjung Malaysia lebih awal sebelum adanya negara MALAYSIA dan INDONESIA? Baiklah, jika sesebuah negara itu klaim budaya itu haknya, bagaimana pula dengan budaya asal itu iaitu sesebuah etnik tersebut?
Sebagai contoh, Indonesia klaim bahawa Batik kepunyaan Indonesia, kerana itu etnik Jawa yang punya, dan kepulauan Jawa berada di dalam Indonesia. Kata kuncinya “Batik berasal dari Jawa”. Bagaimana etnik Jawa yang sudah berada di Malaysia bergenerasi ini? Adakah mereka tidak boleh klaim? Sedangkan mereka yang punya asal usul budaya tersebut, dan mereka hari ini berada di negara Malaysia. Jika kita mengatakan sesuatu budaya hak milik sesebuah negara, bagaimana etnik yang membawa budaya aslinya ditempat lain? Adakah mereka tidak boleh klaim budaya mereka?
Sebenarnya hari ini sebahagian warga maya atau netizen ini, lebih tepatnya warga maya Indonesia, mereka tidak memahami kedudukan geografi Alam Nusantara ini. Mereka merasakan Jawa itu Indonesia, Minang itu Indonesia. Tetapi mereka lupa atau tidak tahu orang Jawa dan orang Minang itu etnik, dan telah berada disini(Malaysia) lebih lama lagi sebelum wujudnya negara Malaysia dan Indonesia. Sebahagian mereka merasakan orang Jawa dan orang Minang di Malaysia bukan Jawa dan Minang, mereka adalah Malaysia. Ini pemahaman dan pemikiran yang salah.
Ini salah satu masalah kenegaraan. Mereka merasakan orang Jawa di Malaysia bukan Jawa, dan orang Minang di Malaysia bukan Minang. Kerana itu sebahagiannya berkata Malaysia mencuri budaya Indonesia. Kerana mereka tidak faham geografinya. Orang Jawa membawa budaya Jawa ke Malaysia, orang Minang membawa budaya Minangnya ke Malaysia, tetapi mereka bukan orang Jawa dan Minang, mereka orang Malaysia, budaya Batik kepunyaan Indonesia. Begitulah kira-kiranya. Walaupun pening dan tidak masuk akal, tetapi, itulah pemikirannya dan fahamannya.
Ini permasalahannya bilamana kita klaim sesuatu budaya itu hak milik mutlak sesebuah negara. Sebagai contoh, maaf, mungkin ada yang setuju dan ada yang tidak setuju, tetapi pemikiran orang Malaysia mungkin sedikit kedepan dan terbuka dalam hal ini.
Sebagai contoh, Keris. Orang Malaysia tidak klaim Keris kepunyaan Malaysia, tetapi orang Malaysia Klaim KERIS KEPUNYAAN ORANG MELAYU. Disini agak menarik kerana tidak kiralah orang Melayu itu berada dimana sekalipun, mereka boleh klaim itu hak milik mereka, kerana mereka itu Melayu dan Melayu itu mereka. Jika suatu hari nanti Pulau Cocos mengklaim bahawa Keris itu kepunyaan moyang mereka pun kita tidak berasa hati atau marah, kerana kita memahami isunya, sejarah orang Melayu ke sana dan geografi Kepulauan Nusantara itu sendiri. Kerana klaim mengklaim bukan budaya Malaysia.
(Saya lebih suka untuk memilih nama KEPULAUAN NUSANTARA berbanding KEPULAUAN MELAYU, walaupun hati saya lebih dekat dengan kepulauan Melayu, tetapi kebanyakan orang hari ini tidak memahami erti Melayu itu sendiri, dan tidak boleh menerima mereka dari suku Melayu terutamanya saudara kita di negara jiran kita, kerana bagi mereka Melayu adalah Malaysia, Malaysia adalah Melayu. Mengaku Melayu sama seperti mengaku dirinya Malaysia. Jadi, lebih mudah untuk berkata kepulauan nusantara).
Sejauh ini saya harap anda pembaca memahami apa yang saya hendak katakan. Kebanyakan mereka hanya tahu klaim tetapi tidak tahu sejarah dan geografi alam dan peta nusantara ini yang sentiasa berhijrah ke sana dan ke sini.
Kita boleh lihat bangsa orang putih itu sendiri. Boleh ke orang putih US klaim sesebuah budaya itu US yang punya? Sedangkan orang putih itu berasal dari negara UK. Ibarat begini, Scotland, Ireland, UK, pasti mereka juga berkongsi budaya yang sama, bahasa, makanan. Adakah mereka tidak berkongsi budaya dan makanan yang sama? India, Pakistan, Bangladesh, Nepal, bagaimana dengan mereka pula? Adakah mereka tidak berkongsi budaya dan makanan yang sama? India, Pakistan, Bangladesh, Nepal, bagaimana dengan mereka pula? China, Hong Kong, Taiwan? Kita boleh memahami mereka ini dari rumpun yang sama, dari satu tanah yang sama, dari peta yang sama, kenapa kita susah hendak memahami peta kepulauan nusantara yang kita kongsi bersama?
Setiap dari mereka berkongsi budaya dan makanan yang sama. Mana ada sesebuah negara boleh klaim Pizza asal dari negara mereka sedangkan Pizza itu berasal dari sesebuah etnik yang mana etnik itu telah berhijrah entah kemana-mana. Kemudian diambil oleh penduduk setempat.
Kebiasaannya sesuatu budaya dimiliki oleh sesebuah etnik. Jika etnik itu berhijrah, kebiasaannya mereka akan membawa sebahagian besar budaya mereka, ini tergantung kepada situasi tempat yang mereka pergi dan tinggal. Jika Pizza itu pada asalnya bahan lain, sampai disesebuah kawasan, ianya akan menjadi lain. Jika kita lihat Pizza Italy dan Pizza negara lain, sudah tentu tidak sama. Kerana berbeza tempat, kawasan dan bahan yang ada. Jika kita lihat Batik Indonesia dan Batik Malaysia(Kelantan Terengganu), sudah pastinya lain.
Begitu juga dengan permasalah masakan Rendang yang di klaim oleh warga maya negara jiran kita, Indonesia. Rendang berasal dari etnik Minangkabau. Disebabkan Sumatra berada didalam Indonesia, jadi, ianya kepunyaan Indonesia. Jika sebaliknya, jika Sumatra milik Malaysia, jadi, kepunyaan Malaysia? Begitu? Bagaimana dengan empunya masakan Rendang, iaitu etnik Minangkabau itu sendiri? Etnik Minangkabau telah berada di Malaysia sebelum Malaysia dan Indonesia merdeka lagi. Adakah boleh kita klaim sebegitu?
Bagi pandangan saya yang daif ini, seharusnya budaya tersebut dikembalikan semula kepada yang empunya budaya. Jika Batik dari Jawa, berikan semula kepada Jawa dan jika Rendang kepunyaan Minangkabau, kembalikan Rendang kepada Minangkabau. Sebab apa saya kata begitu?
Kepulauan Nusantara ini telah wujud ratusan tahun lamanya, jadi, ini bermakna, Malaysia dan Indonesia itu sebenarnya satu. Bilamana kita sebut satu, maksudnya ini rumah kita. Malaysia ke Indonesia sama seperti pulang ke kampung halaman, Indonesia ke Malaysia ibarat ini tanah bangsa kita. Perlukah untuk kita klaim sesuatu budaya kepunyaan sesebuah negara? Bagi saya, tidak perlu. Kuda Kepang juga berada di Malaysia, lebih tepat di Johor. Macam mana Kuda Kepang boleh berada di Johor? Kerana orang Jawa sudah lama berada di Johor. Mudah.
Jadi, bagaimana untuk kita klaim? Sedangkan kesemua etnik yang ada di Kepulauan Nusantara ini berlegar-legar didalamnya? Sesuatu yang tidak masuk akal. Kita tidak boleh klaim sesuatu budaya kepunyaan mutlak milik negara kita kerana tempat itu berada didalam negara kita. Sedangkan etniknya telah berhijrah merata-rata membawa budaya mereka ke pelusuk dunia. Tidak boleh mengatakan Malaysia ialah Malingsia mencuri kebudayaan Indonesia, kerana etnik yang ada dinegara Indonesia turut berada di Malaysia. Rendang, Malaysia mencuri kepunyaan Indonesia? Di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan, kami ada etnik Minangkabau yang telah berhijrah ratusan tahun lamanya, dikatakan pada abad ke-14 lagi. Batik dicuri oleh Malaysia? Di Malaysia kita ada etnik Jawa khususnya banyak di Johor dan Selangor. Jadi, tiada keperluan untuk kita klaim mengklaim ini. Budaya ini hak milik etnik tersebut.
Cuma satu perkara yang membuatkan saya bangga mengenai Malaysia. Kami menyebut, semua budaya milik Melayu, bererti, sesiapa yang merasakan dirinya Melayu, tidak kira mereka berada di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Patani, Kepulauan Cocos, New Zealand, Filipina, Myanmar, jika mereka Melayu, itu hak dan kepunyaan mereka. Jika suatu hari nanti Australia didominasi oleh orang Melayu ratusan tahun akan datang, dan klaim Rendang kepunyaan mereka, kami orang Malaysia tidaklah pelik, kerana hari ini, orang Melayu telah ramai berhijrah di Australia, ini sejarahnya. Ini pegangan orang Melayu, orang Malaysia. Jika KERIS kepunyaan Melayu, sesiapa pun Melayu mempunyai hak atas KERIS tersebut, walaupun dimana sahaja mereka berada. Saya harap pegangan ini membawa sampai bila-bila.
Saya bukan ingin orang luar contoh pemikiran orang Melayu atau Malaysia dan tidak pula saya mengatakan orang Malaysia lebih hebat dalam pemikir. Tetapi, inilah contoh yang terbaik buat masa ini. Kita ini serumpun, Malaysia dan Indonesia itu serumpun, berkongsi bahasa yang sama, makanan yang sama dan budaya yang sama.
Ingatlah, orang luar akan cuba untuk melaga-lagakan kita. Jika dahulu kita satu, kita bersatu, hari ini kita dipecah-pecahkan oleh orang luar atas nama negara. Jika dahulu kita bebas keseluruhan Kepulauan Nusantara, kenapa hari ini kita menyekat dan memboikot atau klaim ini kepunyaan kita, ini hak kita. Sedangkan kita ini satu KEPULAUAN NUSANTARA YANG BESAR. Mereka(orang luar) cuba ingin pecah-pecahkan kita, supaya kita lemah dan senang untuk dimusnahkan. Adakah kalian tidak memikirkan hal ini? Saya punya harapan, kembalikan zaman kegemilangan BANGSA NUSANTARA!
Melayu bukan pendatang dari Indonesia, Malaysia juga bukan pencuri kebudayaan Indonesia, tetapi Malaysia dan Indonesia didalam peta Alam Nusantara yang sama kerana itu kita digelar bangsa hebat didunia suatu ketika dahulu, kerana dahulu kita tiada sempadan, tiada ideologi luar yang memisahkan kita. Bagaimana ingin mengatakan pendatang dan mencuri? Indonesia Malaysia hanya memerlukan sampan sahaja untuk menyeberang. Adakah kita lupa mengenai kerajaan JOHOR-RIAU-LINGGA? Jangan dipisah-pisahkan bangsa kita. Kembalikan semula BANGSA NUSANTARA.

Saya minta maaf jika terguris hati siapa-siapa yang membaca, dan saya minta maaf jika ada fakta yang tidak ditulis dan tidak betul. Saya bukanlah ahli sejarah, saya cuma ingin kita bersama.
Kita Bersaudara
Sebenarnya kita mempunyai persamaan,
Walaupun tidak serupa,
Yang penting kau dan aku itu,
SAMA!
Latar belakang yang sama,
Budaya yang hampir sama,
Bahasa dan percakapan yang hampir sama,
Makanan juga hampir sama..
Walaupun hampir sama,
Bukankah itu bermaksud kita sama?
Jika maksudmu puisi,
Dan maksudku juga puisi..
Jika kau maksudkan pantun,
Aku juga maksudkan pantun..
Kalau kau mendakwa itu kepunyaanmu,
Dan aku mendakwa ini kepunyaanku..
Seolah-olah kau dan aku merebut,
Tangan dan kaki yang sama..
Yang mana aku perlukan tangan,
Dan engkau perlukan kaki..
Kita itu saling memerlukan,
Seperti adik perlukan abang..
Seorang abang melindungi adiknya,
Seorang adik menyayangi abangnya..
Kita itu bersaudara yang saling memerlukan,
Ya, mungkin bukan ketika ini..
Tetapi percayalah,
Akan datang kau dan aku saling memerlukan..
Bukan masanya kita bergaduh..
Ini sejarahku, Ini sejarahmu..
Ini makananku, Ini makananmu..
Ini negeriku, Ini negerimu..
Tetapi,
Cari persamaan,
Tinggalkan perbezaan,
Rapatkan persaudaraan..
Kerana kita bersaudara..
Kita NUSANTARA.
Bertelagah mulut itu biasa..
Kerana kita itu adik beradik..
Lihat dihadapan..
Rapatkan ukhwah pertalian..
Kita Bersaudara,
Kita Nusantara.
Sekian.