
Review Kampong Pisang Kita Setandan Arahan Mamat Khalid
Assalammualaikum, Salam sejahtera
Buah tangan dari sutradara Mamat Khalid kembali lagi dengan sebuah filem pendek yang bertajuk Kampong Pisang Kita Setandan!

Filem pendek ini mengisahkan mengenai seorang Cina bernama Teck Zee, yang ingin berkahwin dengan tunangnya Janet. Tetapi dihalang oleh ibu ayahnya kerana menganggap Teck Zee masih muda dan tidak bertanggungjawab. Dalam masa yang sama mereka tidak mempunyai sedara mara untuk menolong mereka menguruskan hal perkahwinan mereka.
Dengan semangat jiwa rakyat dan jiwa kekampungan, Pak Din dan seangkatan dengannya akan menolong Teck Zee dan keluarganya, bergotong royong demi perkahwinan mereka berdua berjaya.
Pelakon Kampong Pisang Kita Setandan:
Bell Ngasri – Barkoba
Mat London – Pak Karim
Aziz M Osman – Pak Jabit
Kazar Saisi – – Pak Din Pest Control
Dewa Sapri – Cik Purnama
Rashid Othman – Faguha Jabar
Nizam Mokram – MA Mok
Ahmad Yassin – Ahmad Yassin
Bulan Terry – Janet
Wong Wei Tian – Teck Zee
Ahmad Sufian Ismail – Pak Pian
Mohammad Hafiz – Mirlun
Ulasan:
Bagi peminat sutradara Mamat Khalid, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton apa sahaja karya-karya dari beliau terutamanya siri Kampong Pisang ini. Kampong Pisang sebuah siri yang menarik perhatian ramai golongan pada hari ini untuk menonton. Sebagai satu tradisi, saya juga tidak mahu melepaskan peluang ini.
Pada pandangan saya, filem pendek ini sebuah buah tangan daripada Mamat Khalid untuk peminatnya, kerana ianya percuma dan boleh menontonnya di Astro On Demand atau Saluran 100.
Cumanya disini, filem pendek ini terlalu pendek bagi saya. Kerana, sebagai peminat karya Mamat Khalid, saya sentiasa menunggu karyanya keluar. Dan bilamana Kampong Pisang Kita Setandan keluar, sangat teruja bagi saya, tetapi ianya hanyalah berdurasi 19 minit sahaja. Tapi, tidak mengapalah, yang pasti karyanya masih hidup. Dan bagi sesiapa yang mengatakan sentuhan Mamat Khalid semakin hilang, anda perlu tonton filem pendek ini.
Filem pendek ini berlatar belakangkan soal perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan. Seperti filem Estet tahun 2010, perpaduan diantara Melayu dan India dipaparkan di dalam filem itu. Berbeza dengan filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan, kali ini memaparkan tentang perpaduan diantara Melayu dan Cina pula. Filem seperti ini yang berlatar belakangkan kaum berbilang bangsa tidak asing bagi Mamat Khalid. Kerana banyak filemnya akan ada masyarakat berbilang kaum. Cumanya kita perasan atau tidak sahaja.
Mengenai lawak jenaka, setiap sentuhan Mamat Khalid pastinya ada lawak jenaka dan tidak kering gusi menontonnya. Cuma, ada orang yang mengulas mengatakan lawak Mamat Khalid tidak masuk akal. Sudah pasti ianya tidak masuk akal, kerana itulah lawak jenakanya. Disebabkan tidak masuk akallah kita ketawa.
Banyak juga babak lawak didalam filem pendek ini yang mana saya tidak akan mengulasnya. Supaya orang yang belum menontonnya dapat mendengar secara spontan dan merasai dialog lawaknya sendiri.
Dari segi filem pendek itu sendiri, kali ini sangat terbaik. Suaranya jelas, pencahayaannya baik. Serba serbi baiklah.
Pelakon utama saya rasa tidak perlu untuk diperkenalkan lagi, cumanya ada pelakon baharu dalam ini yang saya rasa sangat menarik. Bulan Terry dan Wong Wei Tian. Bulan Terry yang memegang watak Janet, hanya beberapa babak sahaja yang keluar, yang betul-betul bercakap hanya satu babak kalau tidak salah. Tetapi, janganlah risau. Dalam Filem Mamat Khalid, walaupun watak itu tidak bercakap, tetapi kesan watak itu sentiasa ada. Lihat sahajalah watak Faguha Jabar, tidak pernah dia melepaskan dialog. Tetapi memberi kesannya yang tersendiri.
Wong Wei Tian membawa watak Teck Zee, bagi saya sangat baik, tidak kekok. Inilah kelebihan Mamat Khalid, membawa setiap pelakonnya di dalam pentasnya, di dalam dimensinya, atau di dalam alamnya. Jarang kita dapat lihat pelakon yang berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid ini, kekok, atau keluar dari ruang yang sepatutnya. Ini diantara sebab saya suka filem Mamat Khalid.
Anda boleh menonton filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan ini di Astro On Demand dan Saluran 100. Pastikan anda menontonnya bersama keluarga. Ini buah tangan dari sutradara Mamat Khalid.
Mamat Khalid telah melancarkan drama bersiri baharunya bertajuk KLIK RIDER yang mula ditayangkan pada 17 September, setiap hari Jumaat, jam 9 malam.
Sekian.