Tiada Lagi Filem Arahan Mamat Khalid

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Pada 24/10/2021 dunia Malaysia dikejutkan dengan pemergian pengarah hebat, Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad, 58 tahun. Arwah meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam.

“Arwah pengsan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia”

Allahyarham dilahirkan di Ipoh, meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.

Banyak filem yang diarahkan oleh Allahyarham, antaranya Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, Hantu Kak Limah, Estet, series Rock, series Puasa Di Kampong Pisang dan banyak lagi.

TIADA LAGI FILEM ARAHAN MAMAT KHALID

Ini yang sedang berlegar-legar didalam fikiran saya. Pemergian Mamat Khalid suatu kehilangan besar buat perfileman Malaysia, atau lebih tepatnya perfileman Malaya. Bukan hanya mengejutkan dunia perfileman, tetapi dunia Malaysia itu sendiri.

Saya penggemar filem beliau, jarang benar jika filem beliau ditayangkan saya tidak menontonnya. Tetapi apa yang lebih saya berlegar didalam fikiran saya. Filem Melayu Komedi apa lagi yang saya hendak menonton kerana bagi saya buat ketika ini, hanya Mamat Khalid sahaja yang dapat mencuit hati rakyat Malaysia dengan komedi bersahaja beliau.

Ada yang mengatakan Allahyarham Mamat Khalid dibandingkan dengan P.Ramlee. Itu terpulang kepada pendapat masing-masing.

Cumanya disini, saya kehilangan satu karya yang kebiasaannya saya akan belinya di Astro First atau saya akan ke pawagam untuk menonton filem arahan Allahyarham Mamat Khalid. Tetapi hari ini, ianya sudah tiada. Siapa yang boleh menggantikan Allahyarham? Untuk ketika ini, tiada.

Saya sedikit lewat untuk menulis perkara ini, sebab saya rasa sukar untuk menulis mengenai hal ini, sangat sukar, saya sangat meminati karya Allahyarham. Saya dapat tahu pada jam 3 pagi. Sangat terkejut saya membacanya. Saya membesar dengan filem komedi dari Allahyarham Mamat Khalid. Mungkin ada beberapa karyanya yang tidak begitu menjadi, ini juga diakui oleh Allahyarham sendiri. Tetapi banyaknya sangat menjadi. Man Laksa? Estet? Kala Malam Bulan Mengambang? Kesemua filem ini sangat terhibur, ada komedinya. Siapa yang mampu pada ketika ini yang boleh membikin filem seperti ini ketika ini? Dahulu saya meminati filem karya Afdlin Shauki, Aziz M Osman. Saya harap mereka kembali ke medan perfileman.

Saya juga berharap pelakon-pelakon dari filem arahan Allahyarham Mamat Khalid diambil oleh pengarah lain. Pemergian Allahyarham bukan hanya sekadar kehilangan besar buat perfileman negara tetapi kehilangan Allahyarham juga tidak banyak sedikit menutup pintu pelakon-pelakon Allahyarham itu sendiri yang ada kualiti mereka sendiri.

Salam takziah dari saya kepada ahli keluarga Allahyarham Mamat Khalid. Semoga Allah rahmati roh Mamat Khalid dan ampuni dosa-dosanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *