Musibah Banjir 18/12/2021

Author:

Assalammualaikum, salam sejahtera..

Pada 18/12/2021 kebanyakan negeri di semenanjung Malaysia ditenggelami banjir yang amat buruk sekali. Terutamanya di Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Selangor dan beberapa tempat lagi. Disebabkan saya berada di Kuala Lumpur, saya akan bercerita di kawasan sekitar saya.

Amat mengejutkan, banjir kali ini agak teruk bilamana banyak kawasan ditenggelami banjir dan ianya berlaku secara serentak dibanyak kawasan. Jika sebelum ini ada kawasan yang sukar dinaiki air, tetapi 18 haribulan, kawasan tersebut dinaik banjir dan ianya amat buruk sehinggakan menenggelamkan separuh rumah dan kereta juga habis ditenggelami air. Seluruh jalan di Kuala Lumpur hampir lumpuh.

Jika kita mendengar berita, kesesakan lalu lintas sangat teruk dan kebanyakannya tersangkut dan ada juga yang dikepungi oleh air banjir. Ada juga bas yang membawa penumpang tersangkut ditengah jalan, dan operasi menyelamat terpaksa dilakukan. Ada juga mangsa-mangsa banjir diperumahan yang sedang ketakutan kerana paras air banjir dikawasan mereka sangat kritikal dan bahaya, ada pula yang terperangkap didalam banjir dan sedang menunggu bantuan dari pihak keselamatan. Sama-sama kita mendoakan keselamatan mereka, mudah-mudahan mereka terselamat dari musibah banjir ini.

Sebenarnya, apa yang telah terjadi pada 18/12/2021? Sehingga berlaku banjir sedahsyat ini? Ada yang menyalahkan pembanggunan, ada juga yang mengatakan masalah pemparitan. Saya sendiri tidak terkecuali dari musibah banjir ini, malam kejadian, saya habis membasuh rumah pada jam 3:00 pagi lebih. Alhamdulillah, tidaklah seteruk sahabat saudara kita yang terkena musibah ini.

Sebenarnya dalam musibah banjir semalam tidak sama seperti banjir biasa yang kita selalu lihat. Ini bukanlah banjir kilat yang mana hujan tidak sampai 1 jam kemudian banjir dan tersangkut di jalan ketika balik kerja. Tidak. Ini bukan banjir biasa atau banjir kilat yang selalu kita hadapi. Ini bukanlah masalah pemparitan atau pembanggunan. Hujan pada hari tersebut tidak berhenti lebih dari 24jam.

Menurut laporan Met Malaysia atau Meterologi Malaysia, amaran hujan berterus buruk dan berterusan bahaya telah dikeluarkan terlebih awal lagi. Saya juga terdengar berita, pakar Meteorologi mengatakan taburan hujan terkini adalah 4 kali ganda dari biasa.

Menurut berita lagi, taburan hujan pada hari kejadian banjir, dikatakan jumlah taburan hujan yang sangat banyak, seakan hujan 1 bulan tetapi berlaku dalam masa 24jam! Bayangkan jumlah hujan sebulan berlaku dalam masa 1 hari! Terowong SMART juga memberitahu mereka telah melencongkan sejumlah 5juta meter padu air yang mana mereka mendakwa jika tidak dilencongkan kemungkinan besar Kuala Lumpur akan ditenggelami air dan pasti akan menjadi lautan air banjir!

Bilamana mendengar sahaja perkara ini, tubuh terus menjadi takut. Bayangkan dalam keadaan begini pun sudah cukup menakutkan, apatahlagi 5juta meter padu air ini tidak dapat dilencongkan. Apa akan jadi Kuala Lumpur pada hari ini? SMART juga mengatakan ini rekod terbaharu mereka yang berjaya melencongkan air sejumlah yang paling banyak. Tahniah kepada pihak SMART.

Masalah banjir untuk kali ini, bukanlah masalah pemparitan atau banjir kilat. Jika dilihat paras air sungai disekitar Kuala Lumpur, hampir melimpah, dan ada juga yang telah melimpah. Setiap pemparitan akan disalurkan ke sungai. Jika sungai telah penuh, sebagus mana pun pemparitan atau berapa banyak sekalipun pemparitan, ianya tetap akan banjir.

Kesimpulannya, banjir kali ini bukanlah disebabkan masalah pemparitan atau pembanggunan atau apa sahaja. Benar, saya tahu, ada yang menyalahkan pelbagai pihak, kebiasaannya orang yang berfahaman politik. Tetapi ada kalanya kita perlu menjadi nuetral atau tidak menyebelahi mana-mana pihak. Mungkin juga musibah banjir hari ini teguran dari Allah SWT buat kita.

Saya tidak mahu menceritakan orang ini salah, orang ini buat dosa, sebab itu terjadinya musibah ini. Kerana saya sendiri ada kesalahan, ada dosa. Mungkin disebabkan dosa saya ini, terjadinya musibah. Cuma apa yang kita perlu ambil dalam musibah ini, lihat pada diri kita, mungkin kita ada kesilapan kita, dosa kita. Dan cuba untuk ubah diri kita.

Bukan masanya untuk kita menyalahi atau menuding jari kepada orang lain, apa yang patut kita lakukan adalah membantu mangsa banjir, dari segi tenaga, bantuan kewangan, makanan minuman, semangat, kalau tidak dapat lakukan apa-apa, berdoalah untuk mereka, berdoalah kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka. Kalau tidak mampu lagi, lebih baiklah berdiam diri daripada bercakap atau menulis sesuatu yang menyakitkan hati orang. Banyak tersebar di media sosial yang telah tular dengan penulisan atau doa yang tidak baik bahkan jelik. Sudah-sudahlah.

Lihatlah, betapa prihatinnya kebanyakan orang diluar sana membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh pelusuk negeri dan daerah di Malaysia. Terkesan saya dengan satu komen ini, katanya(lebih kurang). “Ramai orang menghantar bantuan dengan pelbagai cara, ada yang bawa kereta atasnya mempunyai bot. Tetapi semua no plat berasal luar dari negeri tersebut kebanyakan dari luar. Jika banjir dahulu ramai dari Selangor dan Kuala Lumpur menghantar bantuan kepada kami. Kali ini kami pula membalas jasa, kami akan menghantar bantuan kepada anda”. Memang sangat tersentuh dengan tulisan-tulisan seperti ini.

Jadi kita dapat lihat, yang golongan toxic ini tidaklah ramai sedangkan golongan yang baik lebih ramai lagi. Jangan terpengaruh dengan golongan yang negetif, yang hanya mampu menyalahkan orang lain sahaja, sedang mereka sedikit pun tidak menggunakan tangan mereka untuk menolong, menggunakan bibir mereka untuk berdoa. Persetankan golongan toxic dan negetif seperti ini, Malaysia perlu membina budaya yang lebih baik dan positif tanpa menyalahkan orang lain dan dalam masa yang sama tangan bergerak teruskan memberi membantu.

Lihat sahaja di media sosial, kadang-kala entah dari mana bantuan-bantuan, NGO-NGO, orang awam yang datang menolong. Inilah sepatutnya sifat yang harus kita bawa, bukan menyalahi pelbagai pihak apatahlagi mengatakan negeri sekian-sekian banyak maksiat, orang lain banyak dosa dan sebagainya. Sepatutnya kita muhasabah diri, menilai diri kita sendiri. Adakah kita cukup baik, tiada kesalahan dan dosa? Mungkin juga disebabkan dosa kita sebenarnya terjadinya musibah ini.

Jadi, berdiam dirilah jika kita tidak mampu melakukan apa-apa, daripada bercakap entah apa-apa. Ini ujian buat mangsa banjir, dan ini juga ujian buat diri kita. Kepada ahli politik, sudah-sudahlah berpolitik. Bantulah rakyat ini yang telah mengundi anda. Rakyat sudah rimas. Kadang penulisan mereka mengenai banjir, terselit kepolitikan mereka menyalahkan pihak lawan mereka. Sudahlah, rakyat bukan sekadar rimas bahkan meluat, menyampah dan benci. Rakyat sedang susah, terperangkap dalam banjir, tiada makanan, kelaparan. Sehingga terpaksa pecah masuk kedai-kedai disekitar untuk mendapat sedikit makanan untuk anak mereka. Salurkanlah bantuan dengan segera, tidak perlu cop atau tampal lambang parti atau nama anda, baru boleh keluarkan bantuan. Rakyat sedang memerlukan bantuan.

Dikhabarkan ada yang terkorban dalam kejadian banjir ini. Semoga Allah rahmati dan ampuni dosa-dosa mereka, semoga Allah memberi tempat yang terbaik untuk mereka, semoga Allah memberi sebaik-baik syurga buat mereka. Amin.

Mungkin ada yang berkata “Syukur, hanya sedikit sahaja yang terkorban, hanya sedikit nyawa terkorban” dan sebagainya. Tetapi bagi kita sebagai orang yang waras, walaupun seorang yang terkorban, tetap nyawa manusia.

Terlalu ramai yang terkesan akibat banjir ini. Ada yang terpaksa berada dibumbung, ada yang lumpuh tidak mampu bergerak. Ada yang masih tidak dapat bantuan untuk keluar dari kawasan mereka. Semoga Allah memberi perlindungan buat mereka semua.

Kemungkinan banjir akan berterusan kerana ketika ini musim tengkujuh. Jadi, tolong berhati-hati dan berwaspada. Saya doakan kita semua dalam keadaan baik dan sejahtera. Semoga Allah memberi perlindungan buat kita semua.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *