Assalammualaikum, Salam sejahtera.
Bon Odori sebuah ritual atau perayaan yang diambil dari China yang biasanya dikenali sebagai Ghost Festival atau Perayaan Hantu yang berasal dari agama Buddha.
Secara asasnya Bon Odori ini adalah sebuah ritual keagamaan atau kepercayaan mengenai mempercayai hantu atau roh nenek moyang, memberi makan, memanggil dan sebagainya. Ritual Bon Odori ini dilakukan bersama persembahan menari yang mana setiap gerakannya mempunyai maksud yang tersendiri.
Secara asasnya kita boleh tuntaskan atau noktahkan bahawa Bon Odori bukan hanya sebuah festival atau pesta sepertimana pesta buku, pesta makanan Thai yang mana selama ini dianggap sebagai “Ianya hanyalah sekadar pesta makanan“.
Perkataan festival terbahagi kepada dua makna. Pertama festival bermaksud ritual atau upacara keagamaan. Kedua festival bermaksud pesta atau kempen seperti promosi, pertandingan dan sebagainya.
Jadi, apa yang dapat kita simpulkan perkataan festival dalam Festival Bon Odori lebih kepada bermaksud ritual atau upacara keagamaan. Menyertai sesebuah ritual atau perayaan keagamaan lain adalah HARAM bagi orang Islam. Kerana ada sebuah hadis Nabi bersabda,
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)]
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
– Rujukan Mufti Wilayah
Firman Allah SWT,
( Surah Furqan [25:72] )
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.
Ini jelas bahawa Islam melarang menyertai mana-mana yang mempunyai unsur perayaan, upacara atau ritual agama lain sekaligus meletakan hukum menyertai adalah HARAM. Sebab apa boleh jadi begitu? Saya akan terangkan kelak menggunakan hujah logik dan akal.
Mungkin ada yang berkata “Kita sekadar meraikan sahaja, untuk hubungan diplomatik, untuk meraikan pelbagai kaum dan agama, ianya hanya pesta makanan untuk kita bersama berkumpul me-eratakan hubungan…“
Pertama, jika ianya suatu pesta makanan, penganjur perlu ubah nama dari Bon Odori kepada Pesta Makanan Jepun sepertimana kita biasa dengan Pesta Makanan Thai. Kemudian mestilah semuanya halal.
Jika orang bukan Islam kata “Ini perayaan kami, kami tak ajak pun bla bla bla…“.
Jadi, jangan promosi kepada orang Islam, jangan buat poster ada orang Islam pakai tudung dan jangan membantah fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti. Anda rayalah sendiri-sendiri. Mudah bukan? Selama ini orang Islam tidak pernah menghalang pelbagai ritual keagamaan di Malaysia. Tapi mereka tahu, pengguna atau pembeli terbesar di Malaysia dikalangan orang Melayu dan Islam.
Kedua, bab diplomatik ini, banyak lagi cara lain yang tidak melibatkan keagamaan. Kita boleh bertukar-tukar budaya sepertimana Zapin dibawa keluar negara, dan negara itu membawa BUDAYA ke Malaysia. Makanan, jual beli, itu semua boleh mengeratkan diplomatik. Kita tengok Ultraman, mereka tengok Upin Ipin. Bukankah itu suatu bentuk diplomatik? Upin Ipin pernah bekerjasama dengan sbeuah syarikat Jepun membuat satu siri Upin Ipin dan Ultraman.
Kemudian, jika ada yang meratip berkata “Tidak sambut atau menolak Festival Bon Odori maksudnya tidak menghormati kepelbagaian kaum dan budaya…“.
Pertama, seperti yang dibincangkan diawal tadi, Festival Bon Odori bukan kebudayaan tetapi upacara atau ritual keagamaan. Dan untuk mengatakan orang Islam atau umumnya orang Melayu tidak menghormati kepelbagaian, tidak boleh menerima budaya orang lain atau rasis. Jika ini benar, rasanya tiadalah bangsa asing boleh hidup disini dan boleh menjadi kaya di Malaysia, bukan? Hujah pertama telah dipatahkan.
Jika benar orang Islam tidak menghormati ritual keagamaan agama lain, mungkin Thaipussam atau Chap Goh Mei yang ditutup jalan untuk memberi laluan kepada upacara keagamaan, kemungkinan tiada. Keberadaan Bon Odori di Malaysia bukanlah baharu, bahkan sudah 40 tahun. Masihkah dipanggil tidak menghormati upacara kegamaan agama lain atau rasis?
Cuma orang bukan Islam perlu memahami sesuatu, bagi yang ingin memahami anda akan dapat fahami, bagi sesiapa yang tidak mahu faham, memang tidak akan faham dan tidak mahu membaca pun, kemudian membuat kesimpulan dan komen, Islam rasis, hujah bodoh dan sebagainya.
Islam mempunyai satu garisan merah yang mana sebagai penganut agama Islam, kami tidak boleh melangkah garisan merah tersebut. Kata mudah begini, ada jalan dan dihadapannya ada sebuah gaung yang sangat dalam. Hanya orang gila sahaja melepasi garisan dan jatuh ke dalam gaung. Menyambut perayaan atau ritual atau upacara keagamaan agama lain ibarat kami menerjun di dalam sebuah gaung yang mana ianya akan membawa kami jatuh ke dalam kekufuran dan melibatkan akidah sebagai penganut Islam. Ini yang dilarang dan difatwakan oleh Mufti-Mufti.
Ingat tidak tadi saya akan terangkan berdasarkan logik dan akal? Begini, hanya orang yang tiada hala tuju sahaja yang merayau-rayau tidak tentu hala. Begitu juga dengan agama. Hanya orang yang tiada agama sahaja yang menyambut semua upacara keagamaan orang lain. Jika anda betul-betul mempunyai pegangan agama, anda sendiri tidak akan sambut upacara keagamaan agama lain.
Kita boleh lihat sebahagian orang. Thaipussam dia sambut, Chap Goh Mei dia sambut, Krismas pun dia sambut. Saya nak tanya sesuatu, kamu agama apa sebenarnya? Kesemua perayaan ini melibatkan upacara keagamaan.
Greeting atau ucapan, berbeza dengan menyambut, ini kena jelas. Menyambut anda memakai pakaian, ada pokok krismas. Ucapan hanya sekadar ucap “Happy Holiday“.
Islam tidak begitu dan semudah itu. Benar Islam itu mudah, tetapi bukan semudah itu dalam bab akidah. Dalam agama Islam terutamanya bab akidah, Islam ada pegangannya yang tersendiri. Tidak boleh hari ini sembah Allah, esok sembah lain. Hari ini sambut Hari Raya Korban, esok sambut Vegetarian.
Dan bukan seperti sebahagian orang yang memakai rantai salib, tetapi semua agama mereka praktik dan ikut serta upacara keagamaan lain. Dan bukan juga sebahagian orang yang mengatakan mereka Islam, tetapi mengatakan Allah tidak wujud, syurga neraka hanyalah persepsi. Itu bukan cara dan pegangan agama Islam. Agama Islam bukan pegangan agama separuh-separuh. Islam hanya tertegak dengan satu akidah sahaja. Tiada Tuhan Melainkan Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah.
Mudah logik akal, jika dikatakan orang Islam tidak menghormati perayaan keagamaan agama lain kerana tidak menyambut. Saya hendak menanyakan sesuatu.
Adakah orang Hindu akan sambut Hari Raya Korban yang mana ketika itu orang Islam menyembelih lembu secara besar-besaran? Adakah orang Buddha yang vegetarian akan menyambut perayaan makan daging atau pergi ke pesta makanan daging? Sudah pasti tidak, bukan? Saya tidak tahu jika ada yang sambut juga. Jika anda sambut, bermaksud anda tiada pegangan agama yang kuat.
“Ala.. Sibuk halal halal…“. Pergilah baca kitab agama Yahudi, lihat Kosher mereka lebih ketat dari halal orang Islam, sehinggakan garam pun mereka perlukan Kosher. Orang vegetarian pun akan lihat logo mereka.
Jika kami orang Islam atau Melayu ini dikatakan tidak menghormati dan tidak meraikan kepelbagaian budaya (Jepun) kerana tidak menyambut Bon Odori, rasanya tidak betul. Siapa kata orang Melayu tidak meraikan kepelbagaian budaya?
Kami dari kecil tonton cerita Doraemon, Shin Chan, Slam Dunk, Digimon, Pokemon (siapa yang lahir zaman 80an – 90an akan tahu). Kami pergi restoran Jepun makan Sushi dan Ramen, lebih dari itu, makan guna chopstick, pakai pula Kimono. Adakah ini dikatakan tidak meraikan kepelbagaian budaya?
Zaman ini setelah Jepun, masuk pula Korea. K-Drama, makan Kimchi, pakai Hanbok dan pelbagai lagi. Siapa kata kami tidak sambut festival atau pesta? Pesta Makanan Thai, ramai sahaja orang Melayu Islam disana. Adakah masih dibelenggu di dalam akal fikiran anda yang mana orang Melayu Islam rasis?
Kami menyambut baik semua budaya, kerana itu Malaysia mempunyai cuti yang sangat banyak dan perayaan kesemua budaya dan agama masih ada dan kekal sehingga ke hari ini. Kami menyambut baik kebudayaan anda Cheongsam, Kurta, Kimono, Hanbok, pakaianan, makanan, minuman. Tetapi bukan upacara keagamaan anda. Jelas.
Cuma seperti yang saya katakan tadi, Islam ada garisan merah yang tidak boleh kami melepasi, kerana ini melibatkan keagamaan dan akidah sebagai seorang orang beragama Islam.
Analogi mudah kita ambil situasi di Malaysia. Tahun Baharu Cina dan Deepavali, setelah pagi anda melakukan ritual keagamaan, anda mengadakan majlis rumah terbuka bukan? Ada tidak orang Islam hadir? Jika semua makanannya halal, tiada upacara unsur keagamaan, pasti akan ada orang Melayu dan Islam akan hadir. Kerana ianya sebuah hari raya dan rumah terbuka untuk kita makan-makan.
Berbeza dengan Chap Goh Mei dan Thaipussam, ini memang upacara atau ritual keagamaan yang mana kami sebagai orang Islam dilarang keras untuk bersama. Sama situasinya seperti Hari Natal atau Krismas, perayaan yang mempercayai bahawa tarikh tersebut kelahiran Jesus.
Situasi ini sama seperti anda, Hari Raya Puasa atau Adilfitri. Selepas kami melakukan agama kami di pagi hari, Solat Sunat Raya, kemudian makan-makan, anda akan datang bukan? Tetapi berbeza dengan Hari Raya Korban atau Adiladha, yang mana ini memang upacara keagamaan. Menyembelih lembu secara besar-besaran. Bagi yang beragama Hindu dan Buddha yang vegetarian, pasti tidak akan sambut.
Adakah jika anda tidak sambut, anda juga akan dikenakan hukuman sebagai rasis dan tidak menghormati budaya dan keagamaan kami orang Islam? Jika itu sifir yang anda ratibkan bermaksud anda juga rasis.
Sebenarnya mudah sahaja untuk difahami seperti yang saya telah katakan tadi. Bagi siapa yang ingin faham, mereka akan faham. Tapi bagi sesiapa yang tidak mahu faham, memang tidak akan faham dan tidak mahu faham pun. Kemudian membuat kesimpulan, Islam Melayu rasis tidak hormat orang. Itu sahaja yang anda mampu ratibkan.
Orang yang suka menghina agama ini, dalam mana-mana agama pun akan ada yang menghina. Bukan masalah agama tetapi masalah manusia itu sendiri. Mungkin ada yang berkata “Kami tidak ada menghina agama Islam pun..“. Membantah dan membahan lawakan fatwa Mufti pun kami menganggap itu suatu penghinaan kepada institusi keagamaan Islam. Cubalah hina Tok Sami Hindu di India atau Buddha di Myanmar. Keputusannya tetap sama sahaja. Bahkan ada yang dibunuh.
Tapi di Malaysia, sebagai orang Islam yang memegang kuat kepada ajaran agama, tidaklah kami sehingga membunuh orang bukan Islam, apatahlagi berlaku di beberapa buah negara, sudahlah dirogol kemudian dibunuh secara kejam, ada yang dibakar hidup-hidup.
Bersyukurlah menjadi rakyat Malaysia. Kami orang Islam bersyukur lahir di Malaysia kerana tidak diperlakukan kejam seperti saudara kami di beberapa buah negara, dan anda patut bersyukur orang Islam tidak memperlakukan sebagaimana puak majoriti melakukan kekejaman dan menindas puak minoriti (Islam) di negara mereka. Sudahlah dirogol, dibunuh dengan kejam, dirobohkan rumah, dibakar hidup-hidup. Bersyukurlah.
Sekian.