Tular SPM Gagal

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera.

Baru-baru ini tular mengenai seorang yang menanyangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang penuh dengan keputusan Gagal dan lebih parahnya lagi seolah-olah bangga dengan keputusan SPM yang gagal. Bukan satu dua subjek, tetapi banyak subjek beliau gagal. Adakah pencapaian ini yang harus dibanggakan?

Zaman saya, hendak memberitahu Mak Ayah dapat keputusan E pun sudah menakutkan. Bilamana kita beritahu “Dapat E…“, nanti Mak atau Ayah kita akan jawab paling kurang pun “E..? Haieezeee“, lebih banyak sebutan yang ada E akan keluar. Jadi sebagai anak kita fahamlah. Kadang E itu subjek Bahasa Inggeris ataupun bukan subjek teras. Itupun sudah takut.

Dahulu kalau ada subjek yang dapat keputusan E kebawah, terutamannya dapat Gagal, bila kawan tanya “Weh… Berapa keputusan kau? Tengoklah…Bagitahulah…“. Kita jawab, “Ala.. Biasa-biasa sahajalah“. Punyalah malu hendak beritahu atau nak tunjuk.

Kita dahulu jika keputusan dapat E apatahlagi Gagal. Sudah fikir memang tiada harapan, Universiti apa nak masuk, Kolej mana yang boleh terima, kursus mana yang boleh ambil. Semua berlegar-legar dalam kepala otak. Macam hilanglah masa depan, nampak gelap sahaja. Kena pula kawan semua sudah masuk Universiti. Mak Ayah pula sudah mula banding-bandingkan.

Itu semua cerita zaman kita, yang mana berbeza sangat dengan zaman sekarang. Keputusan Gagal SPM ditayang di media sosial yang mana bukan hanya orang Malaysia boleh lihat kegagalan kita, bahkan satu dunia yang boleh akses akan nampak pencapaian kita. Dahulu bangga masuk Universiti, hari ini bangga dalam keputusan Gagal dalam peperiksaan. Pelik bukan? Tetapi itulah hakikatnya bagi segelintir generasi hari ini.

Betul, saya tidak nafikan, bahawa keputusan SPM bukan segala-galanya. Tetapi ada kebaikannya yang kalian tidak boleh menafikan. Kita bukan bercakap soal 1 subjek Gagal, tetapi kebanyakannya Gagal. Sehingga ada yang Bahasa Melayu Gagal, Pendidikan Islam Gagal, Matematik Gagal. Ini masalah. Anda masuk bilik peperiksaan kemudian tidur ke? Kemudian berbangga dengan keputusan yang Gagal.

Kemudian lebih parahnya lagi “Rezeki Tuhan sudah tetapkan sejak lahir lagi… Belajar macam mana pun Tuhan sudah tentukan…“. TIDAK! Ini salah faham yang sangat teruk. Sesuka hati sahaja menyalahkan takdir “Tuhan sudah tetapkan….”.

Anda mengibaratkan seolah-olah, anda masuk tangan dalam lubang ular, kemudian anda cakap “Sudah ditentukan… Kalau tidak masuk tangan pun, tangan saya dengan sendirinya akan masuk…“. Kalau itulah sifir takdir anda, begitulah ibaratnya. Minum Clorox, mati, takdir, ajal. Bukan mudah-mudah boleh simpul begitu sahaja. Itu pilihan anda.

Firman Allah SWT,
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

(Surah Al-Rum [30:41] )

Ayat dalam Surah ini jelas, kerosakan yang kita lakukan atas tangan kita sendiri. Kalau kita sendiri tidak belajar atau masuk dalam bilik peperiksaan dalam keadaan sambil lewa, atau masuk jawab satu dua soalan, kemudian berserah pada takdir, ini kesalahan yang nyata. Melarikan diri dari kesalahan dan kemudian meletakan dan menyelahankan takdir, ini bukan caranya. Seolah-olah kita menyalahkan Allah sebab bagi keputusan begini.

Allah menyuruh kita berusaha terlebih dahulu, kemudian baru berserah dan bertawakal.

Firman Allah SWT,
………Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

( Surah Ali Imran [3:159] )

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

( Surah Al-Jumaah [62:10] )

Bukankah Allah menyuruh kita berusaha dan mencari apa yang dihajati? Bukan hanya menyalahkan rezeki dan takdir semata-mata.

Berbalik kepada keputusan SPM yang dibanggakan tadi, kita masuk hal keduniaan sikit. Disebabkan terlalu ramai yang mengatakan “SPM tidak menjamin apa-apa…. SPM bukan penentu segalanya….“. Saya nak tanya, keputusan Gagal dalam SPM penentu jalan anda ke? Sekarang anda boleh kata begitu sebab anda baru fasa santai hendak masuk ke fasa kehidupan sebenar.

Saya tertarik dengan seorang ini, beliau mempunyai syarikat. Beliau mengatakan, betul SPM bukan penentu segalanya. Katanya lagi, tapi dengan keputusan yang begini Gagal, beliau hendak ambil orang bekerja pun fikir banyak kali. Hendak ambil juruwang di kaunter pembayaran pun bila terkenang keputusan Matematik yang Gagal, sudah pasti sebagai seorang empunya syarikat fikir banyak kali. Ini melibat ilmu atau knowlegde, betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam dunia hari ini.

Seperti saya katakan tadi, kita bukan bincang soal Gagal satu dua subjek, tapi hampir semua subjek. Kalau satu dua subjek Gagal, mungkin perusahaan syarikat bolehlah mempertimbangkan, boleh ajar dan sebagainya, kalau benar-benar orang itu hendak berusaha. Tapi kalau sudah bersubjek-subjek gagal, dalam fikiran perusahaan akan persepsi memang malas sangat ini.

Universiti sudah pasti akan menolak, kolej berbayar pun fikir banyak kali hendak ambil, sebab ini berkait rapat dengan reputasi pihak kolej, jika ada pelajar yang selalu bermasalah dan gagal, akan memudaratkan reputasi kolej.

Mungkin ada yang akan cakap “Ada Phd pun, belum tentu dapat kerja….“. Ya, saya setuju. Tapi jika yang ada Phd pun tidak dapat kerja, apatahlagi kita yang dapat keputusan biasa-biasa , terlebihlagi gagal dalam SPM?

Ala… Orang tak sekolah, buka perniagaan, kaya je…“. Pertama, berapa dalam ribuan orang yang anda lihat kaya raya begitu? Kedua, mereka yang berjaya dalam perniagaan berjuta-juta sebulan ini, berapa juta yang telah dilaburkan dahulu? Berapa juta pinjaman mereka meminjam? Perniagaan bukan sekadar teringat kemudian terus berjaya. Tanpa ilmu terutamanya Matematik, Akaun, bukan perkara yang mudah untuk diuruskan. Kita mencari kira-kira keuntungan dan bukan kerugian demi kerugian.

Saya cuma tidak mahu generasi akan datang menyesal dengan kebanggaan mereka mendapat keputusan gagal dalam SPM kemudian umur 30 tahun, ambil SPM semula sebab baru tahu pentingnya Sijil Pelajaran Malaysia ini. SPM bukan jalan penentu segala-galanya, tp SPM membuka jalan atau ruang untuk kita. Tidak kiralah Sijil Pelajaran Malaysia ke, atau Sijil Sekolah Agama atau sijil apa-apa sekalipun. Itu semua kelayakan kita membuka sedikit ruang untuk kita berjalan kehadapan. Jangan rosakan pemikiran kita dengan SPM atau apa-apa sijil bukan penentu segalanya. Ini pemikiran karut. Ambil SPM, dapat keputusan yang baik, kemudian lakukan apa yang terbaik.

Hendak jadi Youtuber ke, Tiktoker ke untuk mencari pendapatan. Pastikan skor dahulu SPM. Platform semua ini tidak menjamin sampai bila anda boleh guna. Mungkin 5 tahun akan datang, nama-nama ini pun anda tidak kedengaran.

Dapatkan sijil SPM, tapi jika kita telah habis usaha, jika itu sahaja kemampuan yang kita ada, itu barulah rezeki kita, terima seadanya. Kepada Mak Ayah, hargai usaha anak anda jika itu kemampuannya. Sokong mereka, jangan merendahkan mereka. Jika keputusan bagus bersyukurlah.

Walau bagaimana pun, kita berusaha dapat sijil, jangan sehingga iktikad atau percaya sijil membawa rezeki. Kita hanyalah usaha selebihnya Allah akan memberi rezeki. Kita perlu melahirkan orang bijak pandai, dalam pelbagai bidang, Sains, Matematik, Geografi, Sejarah dan lain-lain subjek. Supaya umat lebih maju kehadapan. Jika tidak, siapa hendak cipta peralatan, telefon pintar, mengkaji alam, haiwan, laut, tanah, sejarah, teknologi dan sebagainya.

Adapun ilmu agama, wajib sebagai seorang Islam. Setinggi manapun ilmu dunia kita hendak belajar, jangan lupa ilmu agama yang membawa kita ke akhirat kelak. Ilmu dunia mengajar kita membuat nuklear, tapi ilmu agama mengajar kita tidak sesuka hati menekan butang menjatuhkan nuklear. Penting bukan kedua-dua ilmu ini?

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

( HR Muslim 4867 ) – Rujukan Mufti WP

Berusaha, berserah, dan bertawakal.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *