Rokok Fitnah Akhir Zaman Yang Nyata!

Author:

Assalammualaikum, salam sejahtera.

Kita selalu mendengar mengenai fitnah akhir zaman, ilmu fitan dimeja-meja penceramah yang mencerita pelbagai tanda-tanda akhir zaman. Dunia semakin hampir pada penamat, kehidupan semakin singkat, umur semakin menurun.

Pelbagai fitnah yang melanda umat Islam hari ini, sangat besar dan berat untuk menanggung. Jika kita terlepas tali pegangan, pasti akan terbang melayang. Jika terlanjak, pasti akan jatuh ke dalam gaung yang dalam.

Terbuktilah fitnah yang dibawa oleh dajjal dan yahudi hari ini sangat besar dan berat dengan pelbagai jalan dan ujian. Kita tidak perlu mencari perkara yang “deep” untuk mencari fitnah akhir zaman yang cuba dimasukan ke dalam dunia Islam, cukup hanya dengan membawa sepohon pokok ke dunia Islam untuk dijadikan rokok. Ya, hanya rokok sahaja yang telah menjadi fitnah besar akhir zaman ini.

Hari ini satu negara kecoh dan bertelagah hanya kerana perihal rokok. Lebih menakutkan lagi, orang Islam sendiri bertelagah, bermaki-maki hanya kerana sebatang “makanan” yang diperbuat dari yahudi. Sangat besar fitnah akhir zaman hari ini. Bertelagah berkata-kata dalam Malaysia (media sosial) ini biasa, tetapi bertelagah sesama Islam demi mempertahankan sebatang rokok “made in yahudi“, sangat luar biasa.

Sebelum ini kita melihat fitnah akhir zaman secara “deep“, mendalam sedalam dalamnya. Banggunan bentuk fre*m*ason, nasi lemak piramid ill*mi*ati, sukan komenwel ada lembu samiri. Tetapi kita terlupa fitnah yang berada dihadapan mata kita, sekeliling kita, mungkin dalam rumah kita sendiri. Fitnah rokok yang jarang hendak diceritakan. Mungkin fitnah ini juga terkena pada golongan agamawan dan golongan ilmu ahli fitan itu sendiri kerana itu jarang dibincangkan. Orang agamawan jarang minum starb*c*s, jadi mudah untuk diratip produk yahudi berbanding rokok yang sudah terang lagi bersuluh produk orang-orang kafir yang tiada cop halal.

Orang Islam hari ini bertelagah hanya kerana ingin menyelamatkan rokok berjenama yahudi. Sudahlah dibuat oleh orang yahudi, kafir, bahkan kafir harbi. Cop halal pun tiada, cop halal palsu pun takut nak cop. Tetapi sebahagian dari kita, benar-benar ingin mempertahankan. Ini fitnah yang nyata depan mata. Tidak perlu susah-susah hendak tercari-cari banggunan seni bina fre*m*son, vaksin buatan ill*mi*ati dan kandungan tidak halal ada khinzir. Depan mata kita sahaja, dijual hampir semua kedai orang bukan Islam dan kedai orang Islam sendiri, bahkan dipamer dihadapan tanpa segan silu. Ini juga salah satu fitnah akhir zaman.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam, telah memutuskan bahawa merokok adalah HARAM.

Dalam bahasa mudahnya rokok adalah HARAM. Pengharaman ini kerana banyak sebab, antaranya bahaya, ketagihan dan kecanduan, memberi kesan tidak baik, memberi kemudharatan, boleh merosakan tubuh badan, penyakit, bahaya kepada diri sendiri dan orang sekeliling, pembaziran dan membuang masa. Sebaliknya hari ini kita bertelagah ingin selamatkan sebatang rokok yang banyak memberi kemudharatan kepada diri kita dan orang lain. Sangat-sangat fitnah akhir zaman.

Di Malaysia, majoriti perokok dalam negara ini kebanyakannya orang kita, Melayu Islam. Jadi, tidaklah pelik jika “mereka” cuba atau ada usaha-usaha ingin mempertahankan rokok supaya umat kita semakin sakit, membazir dan merosakan. Ada sebahagian dari mereka mengatakan merokok hak asasi manusia, hak kebebasan dan sebagainya. Ada juga perusahaan dan industri mengatakan jika diharamkan dan tiada orang merokok, perniagaan mereka akan terjejas. Demi keuntungan dan wang, sanggup membiarkan manusia merosakan diri. Membunuh manusia tidak semestinya dengan pisau, memberi racun juga membunuh. Dan ada yang mengatakan anak muda boleh buat keputusan sendiri. Adakalanya anak tua pun salah dalam membuat keputusan sendiri.

Sangat pelik dan hairan alasan-alasan yang diberikan demi mempertahankan sebatang rokok. Kita tidak boleh menafikan apa sahaja alasan kita, rokok telah membawa banyak penyakit, kemudharatan dan telah membawa maut. Dan, adakah menghembus asap dihadapan muka orang, terutamanya orang tua perbuatan yang berakhlak dan beradab, jawapan ada pada diri kita sendiri. Banyak perkara yang tidak baik, tetapi akhirnya, kita terkena fitnah ini. Kebanyakan dari pembuat dan perusahaan rokok ini pun tidak merokok kerana tahu kesan kemudharatannya. “Mereka” menjual dan mendapat keuntungan, kita yang membeli mendapat penyakit. Sebagai seorang Islam, kita tidak perlu mempertahankan agenda untuk merosakan diri sendiri.

Pada pertengahan abad ke 16, tembakau telah masuk ke dalam dunia Islam di wilayah Turki Uthmaniyah yang dibawa masuk oleh orang eropah dengan dakyah mengatakan tembakau baik untuk kesihatan. Lama ke lamaan, penggunaan tembakau semakin meluas, orang-orang di wilayah Turki Uthmaniyah mula ketagih sehingga kecanduan, hayal dan produktiviti harian mereka mula menurun.

Percubaan untuk mengharamkan rokok atau tembakau bukan berlaku pada hari ini sahaja. Rokok atau tembakau pernah diharamkan Sultan pada ketika itu, Sultan Ahmed I (1603 – 1617), yang mana kecanduan tembakau semakin merosakan umat Islam pada ketika itu. Tetapi rakyat pada ketika itu tidak boleh menerima dan sedikit ketidakpuashatian rakyat kepada Sultan, kerana mereka mempercayai bahawa tembakau baik untuk kesihatan dan dijadikan ubat, ini yang pernah didakyahkan oleh orang kafir Eropah kepada mereka mengatakan tembakau baik untuk kesihatan ketika membawa masuk tanaman tembakau suatu ketika dahulu.

Setelah Sultan Ahmed I mangkat, anakandanya, Sultan Murad IV (1623-1640) telah meneruskan usaha Sultan Ahmed I dan pengharaman rokok masih diteruskan dengan tindakan yang lebih keras sehingga tahap dihukum membunuh, ini membuatkan rakyat memberontak. Tetapi, malangnya pada ketika itu ada dari kalangan pembesar Islam, Qadhi, Mufti terkena penyakit kecanduan tembakau ini. Akhirnya, setelah kemangkatan Sultan Murad IV, Qadhi dan Mufti di wilayah Turki Uthmaniyah telah menarik semula pengharaman tembakau dan semakin tersebar luaslah pengaruh dan ketagihan tembakau masuk ke wilayah Turki Uthmaniyah dan dunia Islam. Semakin ramai pengaruh dan pembuat rokok tembakau pada ketika itu.

Usaha pengharaman tembakau ini telah diusahakan sejak sekian lamanya tetapi masih tidak berjaya, sehingga dikenakan cukai berganda-ganda pun masih sanggup membeli dan berhabis duit kerana ketaksuban dan ketagihan tembakau. Tidak makan pun tidak mengapa, asalkan dapat membeli sebatang rokok. Antara sekotak rokok RM17 dengan seekor ayam RM17, ada yang sanggup beli rokok berbanding ayam untuk dimakan. Pekara ini berlaku. Boleh tanya pusat zakat situasi ketika menolong dan menyampaikan bantuan kepada orang miskin yang tidak mampu membeli makanan, sedangkan ada sekotak rokok ditangan. Betapa besarnya fitnah yang dibawah oleh orang kafir dari dahulu sehingga hari ini. Maksud tersiratnya, agenda mereka untuk membawa masuk tembakau dan merosakan umat Islam telah berjaya.

Sehingga kini pengaruh dan ketagihan itu dapat dirasai. Jika kita ke Turki, kita akan lihat ketagihan tembakau sangat kuat, di Malaysia juga, sehinggakan di Mekah dan Madinah juga sama. Boleh lihat di Mekah dan Madinah, walaupun diwartakan sebagai Tanah Haram, tetapi perbuatan merokok sangat biasa. Sambil berjalan ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi pun, rokok dimulut. Sanggup mencari dan membeli dikedai atau penjual rokok walaupun harganya mahal dek ketagihan dan kecanduan rokok. Sedangkan Nabi pernah menghalau orang dalam masjid hanya kerana makan bawang. Hari ini tanpa segan silunya menuju ke masjid dengan rokok dimulut. Ada juga yang sampai dihadapan pintu masjid, tunggu habiskan rokok dahulu kemudian dicampak putung rokok merata-rata.

Dalam persekitaran kita pun, kita akan lihat dan terdengar orang tidak berpuasa dan berbuka hanya kerana ketagihan sebatan rokok. Ada juga orang tidak puasa hanya kerana ingin merokok sahaja sepanjang harinya, tidak makan nasi pun. Ini berlaku dan tiada orang boleh menafikannya. Bahaya dari ketagihan yang dibawa oleh orang kafir secara diam dan perlahan. Ini fitnah yang telah dibawa dan dirancang sejak awal abad ke 16 dan agenda mereka berjaya sehingga ke hari ini.

Fitnah ini bukan hanya terkena pada orang biasa, bahkan ustaz dan ahli masjid yang bercerita dalam masjid hal halal haram makanan pun terkena tempias fitnah ini. Mungkinkah ini perancangan dajjal dan yahudi dari dalam dan perlahan untuk merosakan umat Islam. Orang kafir Eropah pada ketika itu tahu, mereka tidak mampu untuk melawan Islam dengan cara peperangan fizikal kerana kekuatan, pengaruh dan ketenteraan Islam pada ketika itu sangat hebat. Mereka cuba mencari cara ataupun jalan lain, jadi mereka menggunakan peperangan saraf, pemikiran dan sebagainya masuk kedunia Islam untuk menjatuhkan dunia Islam dari dalam ketika itu sehingga hari ini. Jika benarlah perkara ini, ini fitnah nyata di hadapan mata.

Yahudi tidak memerlukan vaksin untuk membawa fitnah yang besar pada umat Islam, cukup sekadar membawa sebatang rokok untuk memusnahkan umat Islam dari dalam. Dari orang biasa sehingga orang agamawan termakan. Buktinya, hari ini.

ROKOK FITNAH AKHIR ZAMAN YANG NYATA.

Firman Allah SWT,
Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk….

Surah Al-A’raf [7] : 157

Firman Allah SWT,
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)

Surah Al-Baqarah [2] : 195

Firman Allah SWT,
Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Surah Al-Isra [17] : 26-27

Sabda Nabi SAW,
Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.

HR Ahmad, Ibnu Majah

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *