Buka Bicara

Assalammualaikum, hai..

Ini blog penulisan tentang diri, pengalaman dan situasi yang pernah berlaku dihadapan saya. Tidaklah setiap perkongsian saya ada manfaat besar buat pembaca, adakalanya saya menulis perihal diri sendiri, sejarah dan latar belakang kehidupan. Blog ini boleh dikatakan sebagai diari dan memori saya.

Saya bukan seorang yang pembaca, bukan juga ulat buku, tapi seorang yang suka pergi pesta buku, membeli buku, kemudian balik, buku itu untuk dijadikan tindihan buku-buku beli sebelumnya! Ini sifat pelik saya. Obses dalam membeli buku, hanya beberapa buah buku sahaja yang menjadi pilihan saya membaca. Sebahagiannya tidak baca, sebahagian lagi baca tidak habis. Sekadar dijadikan susunan “perpustakaan”. Ada juga buku yang rosak akibat banjir.

Namun, saya mempunyai satu sifat iaitu terlalu suka untuk menulis, sehinggakan sehari-hari dalam fikiran ada seakan monolog sebuah tulisan. Untuk disclaimer, penulisan saya tidaklah sebaik penulis orang yang hebat membaca dan ayat-ayatnya tersusun rapi, lontaran tulisannya sangat teratur. Itu bukan saya!

Saya suka menulis sebab suka.

Masa tingkatan 5, seorang Cikgu mata pelajaran Bahasa Melayu secara terang-terangan di depan menyatakan “Saya suka karangan Syazwan…..“. Sehingga kawan memerli saya anak kesayangan Cikgu Jamal. Jamal Pak Tongkol.

Terkadang perangai menulis saya menjadikan saya terlalu ghairah ingin menulis, walaupun kadang saya sendiri baca, entah apa yang saya tulis. Dahulu masa awal tingkatan 1, saya suka menulis puisi-puisi cinta. Agak lama perangai ayat-ayat cinta ini keluar dari bibir kemudian di persembahkan melalui tulisan. Kata sepupu “Sudah-sudahlah tu Wan…

Peduli apa saya! Saya suka menulis, hampir setiap hari menulis di Facebook.

Disebabkan pengaruh lagu-lagu jiwang yang di bawa oleh Abang melalui kaset, mp3 dan radio. Setiap bait-bait cinta saya telan kemudian memuntahkan semula dalam bentuk penulisan saya.

Masuk alam remaja, penulisan saya sedikit berubah, entah kenapa. Sedikit masuk perihal politik, tapi bukan politik kepartian! Akhirnya masuk sedikit perihal agama, dan kritik golongan yang mempersendakan agama. Ada ketika penulisan saya agak extrem dan ada masanya saya akan menarik handbreak cepat-cepat, supaya saya tidak keterlaluan.

Sebenarnya agak bahaya jika kita mengikut arus menulisan bersama emosi. “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata celaka badan..“. Penulisan lebih tajam daripada mata pisau! Boleh doktrin orang, boleh ubah orang, boleh sesatkan orang, boleh buat orang jadi jahat!

Hari ini, saya sedikit berubah. Ingin mencari sesuatu dalam diri, dalam penulisan. Barangkali sudah masuk umur hampir tua, 30an. Nada perlu dikurangkan, jati diri perlu dijaga, adab dan akhlak mesti dipegang kemana-mana.

Disebabkan saya suka menulis tetapi tidak suka membaca kecuali buku-buku yang bertulisan pendek. Terbuka hati saya untuk membeli Anekdot Jalanan, Haji Zainal Rashid Ahmad, seorang wartawan dan penulis sastera.

Terus terang saya tidak mengenali beliau secara rapat, tidak tahu terlalu mendalam latar belakang dan keperibadian beliau. Hanya sekadar menonton melalui Garasi TV yang membuka pintu hati saya untuk mendengar dan terus mendengar. Kemudian Haji Zainal membuat sebuah lagi platform, ZRA Strim.

Secara peribadi saya lebih suka beliau di Garasi TV kerana penyampaiannya yang bersahaja, seronok didengar dan tidak terlalu serius. Entah berapa banyak kali saya ulang episod beliau bersama Sabri Yunus dan Tuan SM Zakir, berulang-ulang! Bagi saya itu episod yang seronok! Dengan cerita “Yang menyusahkan kita di alam kubur“, kata Tuan Haji Zainal.

Bila saya membaca buku Anekdot Jalanan, saya rasa, barangkali ini style atau gaya penulisan yang saya patut cuba menulis. “Anekdot”, kisah ringkas.

Bagi seorang yang jiwanya bukan pembaca, buku-buku bertulisan ringkas sememang orang macam kami mencari. Ringkas dan ada isi, manfaat, seronok dibaca.

Saya tidak pandai menulis panjang-panjang, cuma saya mempunyai kisah-kisah dan pengalaman yang suka hendak berkongsi. Tidak panjang dan tidak pendek. Anekdot mengajar saya, “Rupanya ada penulisan gaya yang ringkas“.

Bila baca buku Anekdot Jalanan, ya! Ini gaya penulisan yang patut saya cuba. Menulis dan berkongsi kisah pendek!

Awal saya menulis paling panjang, Pengalaman dan Perkongsian Sebelum Ke Tanah Suci. Teringin hendak membuat buku, cuma, entahlah. Siapalah sudi hendak membacanya. Buku itu menceritakan pengalaman saya bilamana hendak melakukan Umrah. Saya kongsikan cara cari Agensi Umrah, apa yang perlu tahu, apa yang perlu bawa. Saya seronok menulis buku itu! Masih tersimpan rapi di dalam PC.

Alhamdulillah, mempunyai pengalaman dua kali Umrah dan selalu terbaca tetamu Allah tipu saban hari oleh pihak Agensi Umrah, terpanggil untuk saya menulis. Ada beberapa kejadian yang berlaku disana saya sempat rakamkan dalam tulisan saya. Itulah paling panjang. Saya tidak minat novel.

Semenjak dua ini saya ada menulis sedikit ala-ala perjalanan kehidupan saya, cuba untuk buat travelog, tapi.. Saya tidak berani untuk kata travelog. Sekarang ini bahagian pertama kali saya ke Pantai Timur, Kelantan Darul Naim.

Saya harap anda boleh terima penulisan blog ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *