Cinta Yang Masih Dirindui

Assalammualaikum, salam sejahtera..

Bulan 3 tahun 2023 diwaktu malam, aku dikejutkan dengan suatu hadiah yang dihantar kepada aku melalui seorang akak ini disebabkan Si Dia jauh ke utara sedangkan aku jauh di Ibu Kota.
Dengan rasa terkejut tiba-tiba sampai hadiah yang tidak pernah aku menerima hadiah se-romantik sebegini rupa. Serius, aku sangat menghargai.

Sambil menghulur hadiah ini kepada aku, akak itu tersenyum-senyum “Agak-agak siapa yang bagi?”. Aku tak ada orang lain selain Si Dia, aku pun jawablah dia bagi. Kak itu tanya, “Yakin ke dia bagi? Bukan orang lain?”. Ehh akak ni.. Nak suruh aku bergaduh dengan Si Dia ke, kang aku jawab orang lain.

Selepas selesai sesi tanya-tanya, aku pun peganglah hadiah belon ini yang dipenuhi coklat. Kak ini kata ada kata-kata nak cakap daripada Si Dia. Akak itu pun membaca bait-bait yang diisi oleh Si Dia. Aku terpaku, terdiam, ehh.. malu pun ada! Dahlah tak pernah aku bermain hadiah begini.

Kemudian setelah habis membaca, akak ini tanya, “Ada apa-apa nak sampaikan kepada Si Dia tak?”, sambil merakam. Haihh, malulah aku. Jenuh aku nak cakap, menggigil bibir kot.

Sebagai seorang lelaki, biasalah kan, nak jagalah macho sikit. Aku pun sampaikan bait-bait aku, “Sayang, cinta, berkekelan..”, haaa.. itu sahajalah, haha. Aku tak reti nak lafaz-lafaz hasrat dijiwa depan orang ini. Bagi aku biarlah bait-bait puisi cinta aku dengan dia hanyalah kami berdua sahaja yang tahu. Baru boleh bagi bait-bait romantis yang lebih mendalam lagi, hehe.

Belon yang bertulis “I miss you”, dengan lambakan coklat yang aku sendiri tak sanggup nak usik dan makan. Entahlah.. terasa sayang pula nak makan. Lama juga aku nak habiskan coklat ini, satu demi satu aku makan. Daripada terbiar coklat ini cair, baiklah aku makan. Cukuplah hanya aku sahaja yang cair bilamana melihat kecomelan Si Dia.

Aku letak dalam bilik, setiap hari aku menatap hadiah ini. Masuk bilik, aku akan melihat, keluar bilik pun aku akan lihat. Mungkin hati ini terlalu menyayangi dan mencintai. Bilamana aku melihat belon, aku terlihat diri Si Dia sedang senyum. Dialah gadis yang paling comel pernah aku lihat.

Bagi aku Si Dia seorang gadis yang paling comel dihati aku, paling manja, romantis dan paling cepat marah, haha. Ya.. dia baik, baik sangat.

Terkadang aku terfikir, seorang gadis yang baik untuk lelaki yang baik, tapi aku tidaklah baik mana. Banyak kekurangan, banyak sangat. Dari segi kehidupan, bagi aku, dia jauh lebih baik, lebih kehadapan. Dia seorang yang berdikari, usaha gigih, kerja keras. Bab agama pula, bagai langit dengan bumi. Ibarat dia hafal Al-Quran sambil taranum, sedangkan aku merangkak masih mengeja.

Walaupun Si Dia lebih baik daripada aku, namun, dia tidak pernah ungkit kebaikan dan kelebihan yang dia ada dan miliki. Sedikit pun dia tidak pernah ungkit, tiada rasa bangga diri dengan apa yang dia ada. Cuma, kita pun kena tahu dan sedar diri, aku kena sedar diri. Mengakui kekurangan diri aku dan Si Dia jauh lebih bagus daripada aku. Bagi aku, memang layak dan sepatutnya dia dapat yang jauh lebih baik daripada aku.

Cuma, ada satu yang boleh aku puji sedikit tentang diri aku. Sepanjang aku bersama Si Dia, kami keluar, berjalan, makan, aku tidak pernah minta duit dia atau suruh dia belanja atau suruh dia bayar apa yang aku nak beli, tidak pernah! Aku sendiri yang keluarkan duit aku sendiri, untuk pembelajaan kami, jalan, makan, duit petrol, aku akan cuba sedaya upaya bayar guna duit aku. Sebab aku risau, kalau-kalau aku jadi seorang lelaki yang mengikis duit perempuan atau orang kata aku kikis duit perempuan. Cukuplah aku mengikis hatinya buat hatiku, hehe.

Namun.. sudah setahun lebih kami berpisah atas banyak sebab-sebab tertentu..

Tapi aku tak salahkan dia, mungkin aku yang tak pandai menghargai diri dia, aku tak pandai ambil hati dia dan aku bukan yang terbaik buat diri dia. Ya.. aku bukanlah yang terbaik untuk diri dia, aku sedar, aku mengakuinya.

Walau apa pun, balik kepada soal jodoh, aku bukan jodoh buat dia. Mungkin Allah hendak memberi dia seseorang yang jauh lebih baik dan terbaik daripada aku. Yang boleh sentiasa ada bersama dengan dia, boleh menghargai dia, yang boleh jaga dia, yang boleh ambil berat, yang lebih romantis.

Setahun lebih, hadiah ini tetap berada di dalam bilik aku, aku masih menatapnya. Bangun tidur, nampak belon “I miss you“, nak tidur “I miss you“. Dan sehingga ke saat ini, tidak pernah sehari pun dalam sujud aku, aku terlepas mendoakan buat diri dia.

Seriap hari, tanpa terlepas, dalam sujud solat aku, ada doa khas buat diri Si Dia. Aku akan sebut namanya dan mendoakan buat diri dia. Semoga Allah lindungi dia, pelihara dia. Semoga Allah ampuni dosa-dosa dia, semoga Allah kurniakan dia seseorang yang lebih baik, soleh, yang lebih menghargai dia sepenuh hati.

Hari ini, kami seolah tidak kenal satu sama lain. Sama ada dia masih ingat aku atau tidak, itu hak diri dia. Dia lebih berhak untuk menyimpan kenangan dalam diri dia atau membuangnya demi kebaikan hatinya. Iyalah kan, kenangan pahit hanya akan memahitkan hati. Lebih baik buangnya daripada menyakiti hati.

Sebelum kami hampir tidak kenal satu sama lain. Perbualan terakhir kami, Si Dia memulakan dahulu, kami saling meminta maaf dan memaafkan. Sebab bagi Si Dia dan aku, itu lebih baik daripada masing-masing menyimpan kekecewaan dan kesakitan, kosong-kosong katanya.

Hubungan mana yang tiada pahit. Bila manis, kata-kata pun semanis gula, bersemut. Bilamana datangnya pahit, masing-masing berhujah tentang kesakitan masing-masing. Tapi Ibu ada pesan,
“Ooooo.. Waktu bercinta bukan main lagi kau nak sayang-sayang, cinta-cinta, bagi hadiah. Bila putus kau nak ungkit-ungkit, minta hadiah balik, nak masam muka, tak mahu tegur..”

Aku pun tidak mahu ada perasaan benci antara aku dan Si Dia. Ya.. masing-masing ada kecewa, ada sakit. Masing-masing sedaya upaya mencuba untuk bahagia. Tapi apa boleh buat, bukan jodoh kami untuk berkekalan dan bahagia bersama.

Si Dia pernah berkata, “Waktu mula-mula dulu bukan main lagi bagi puisi cinta. Dah lama-lama, huh! Tak ada..”
Bila aku bagi ayat-ayat cinta, dia akan cakap “Dah tegur baru nak bagi, huh!”, haha. Bila Si Dia cakap begitu, aku lagi suka sakat dia.

Perasaan nak keluar ayat ayat cinta atau puisi cinta ini bukanlah suatu perkara yang mudah ya. Dia datang daripada hati yang ikhlas, bukan dibuat-buat, bukan buka internet cari, dia lahir dari lubuk jantung hati. Kadang habis idea juga, sebab kita bukanlah dari kalangan orang yang romantis, haha. Sebab kebiasaannya perkataan cinta sayang rindu akan diulang-ulang. Tapi itu semua tinggal kenangan.

Pun begitu, aku sangat sayangkan Si Dia, sungguh aku sayangkan dia. Aku tidak pernah tinggalkan doa setiap hari buat diri dia. Aku tidak tahu apa khabar Si Dia hari ini. Terkahir aku lihat status whatsapp dia, dia bersama dengan tunang dia. Aku harap dia sentiasa sihat dan bahagia.

Aku doakan, semoga bahagia wahai seseorang yang pernah aku sayangi dan cintai. Semoga bahagia hingga ke jannah. Aku gembira jika dirimu bahagia, terutamanya, bersama lelaki yang dirimu suka dan cintai, lelaki yang boleh menghargai, soleh. Sebab itulah yang aku selalu doakan.

Serius aku katakan, aku banyak belajar perkara baharu bilamana aku bersama dengan Si Dia, ada beberapa perkara yang aku berubah atas teguran dan ajaran dia, ada juga aku belajar perkara yang baharu. Ada juga yang aku sangat bersyukur, ada perkara yang mengubah perjalanan hidup aku. Aku belajar mengenali sebuah perjalanan melihat negeri orang lain. Iya, ini yang aku merasai sekarang. Hari ini aku lebih menghargai setiap perjalanan dan negeri-negeri yang ada di Malaysia. Mungkin Si Dia tidak menyedari perkara ini, awalnya perjalanan aku pergi jumpa Si Dia menaiki kereta api ETS ke utara telah mengubah pemandangan aku. Aku jadi suka melihat negeri orang. Sebab waktu aku naik ETS, sepanjang perjalanan aku meihat muka bumi yang ada di utara. Datang satu perasaan, menarik juga travel. Aku ada tulis tentang perkara ini dan betapa aku menghargai pengalaman aku dengan Si Dia ini. Setiap kali aku tulis hal berjalan travel, aku akan berterima kasih kepada Si Dia yang telah membuka pemikiran dan minda aku untuk melihat tempat orang lain. Aku juga belajar menghargai seseorang lebih mendalam lagi, menjaga hati pasangan dan banyak lagi. Terima kasih, jutaan terima kasih aku ucapkan.

Kata orang, “Cinta tak semestinya dimiliki.. Sayang tak sentiasanya bersama..“. Kalau kita mencintai, kita sayang, walaupun berpisah, sudah terputus tali percintaan macam mana sekalipun, kita tetap kena mendoakan. Itulah tanda sayang dan cinta kita pada dia. Itulah yang aku sedang lakukan. Atau kata-kata aku sekadar nak sedapkan hati yang terpaksa melepaskan.

Sampai bila aku masih nak simpan hadiah ini.. Sampai bila aku masih teringatkan Si Dia di dalam sujud aku..

Sejak aku memiliki perasaan terhadap diri dia sehingga saat ini, aku tak pernah tinggalkan doa buat diri dia, walaupun sehari. Mungkin nampak macam bohong, menipu, tapi itulah hakikat yang ada di dalam diri aku. Aku tak pernah tinggal doa buat Si Dia, barangkali sudah 4 tahun berlalu.

Jika dahulu aku memerlukan hampir 7 tahun bersendirian selepas berpisah dengan seseorang, kemudian berjumpa dengan Si Dia. Untuk kali ini, entahlah.. berapa tahun lagi aku perlukan untuk bersendirian, untuk membuang segala rasa ini. Setahun lebih sudah pun berlalu pergi. Jika melihat dan membaca tulisan ini, rasa ini masih belum hilang sepenuhnya.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *